BUKU Laporan Ketua Audit Tahun Negara 2017. FOTO Azhar Ramli
BUKU Laporan Ketua Audit Tahun Negara 2017. FOTO Azhar Ramli
Sri Ayu Kartika Amri


JABATAN Audit Negara mendedahkan dua syarikat diberi pelepasan oleh Kementerian Kewangan (MoF) daripada membayar cukai RM295.91 juta dan dibenarkan untuk menuntut balik dengan 35 tuntutan berjumlah RM629.50 juta.

Ini berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2017 (LAN 2017) Siri Kedua yang dikeluarkan, hari ini.

Menurut laporan itu, pihak audit tidak dapat mengesahkan dua status tuntutan pulang balik iaitu ‘Tiada Pembekalan Bercukai’ berjumlah RM3.9 bilion dan ‘Siasatan’ berjumlah RM3.52 bilion kerana masih dalam siasatan dan pengauditan oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Kedua-dua jumlah terbabit tidak dapat dianalisis kerana tuntutan pulang balik oleh OKC berkenaan telah disekat oleh JKDM dan amaun tuntutan tidak dihantar (post) untuk diproses dalam modul pulang balik.

Memandangkan sistem MyGST tidak digunakan selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) mulai 1 September lalu, pihak audit mengesyorkan tindakan, JKDM hendaklah mengemukakan angka tunggakan bayaran balik yang telah disahkan kepada MoF untuk tindakan bayaran balik.

JKDM juga hendaklah menyelesaikan kes bagi Orang Kena Cukai (OKC) yang lewat mendaftar atau lewat menghantar penyata dengan mengenakan tindakan perundangan yang sewajarnya; dan perlu menyelesaikan kes tunggakan agar status sebenar tunggakan yang layak untuk dibayar balik boleh disahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 9:31 PM