Mat Yunus bersama isteri, Siti Sarah  yang ditemui sebelum memulakan rawatan dialisis di PHZ Bukit Mertajam di Permatang Rawa, semalam.
Mat Yunus bersama isteri, Siti Sarah yang ditemui sebelum memulakan rawatan dialisis di PHZ Bukit Mertajam di Permatang Rawa, semalam.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Bukit Mertajam: “Saya ingatkan tidak akan berkahwin, namun tidak sangka bertemu jodoh di pusat dialisis.” Itu kenangan manis dikongsi Mat Yunus Ayub, 41, yang bertemu jodoh dengan isterinya, Siti Sarah Mohd Rodzi, 34, ketika melakukan rawatan dialisis di Pusat Haemodialisis Zakat (PHZ) Bukit Mertajam di Permatang Rawa, di sini.

Menurutnya, walaupun tidak normal dan sihat seperti lelaki lain apabila kedua-dua buah pinggangnya rosak sejak 22 tahun lalu, dia tidak menyangka bertemu jodoh di pusat rawatan berkenaan walaupun sebelum ini sudah tawar hati untuk berumah tangga akibat penyakit dialaminya.

“Saya mula jatuh hati pada Siti Sarah pada pandangan pertama apabila dia baru memulakan rawatan pada 2004.

“Pada mulanya, bagi memikat Siti Sarah, saya meminta bantuan kakitangan pusat rawatan itu membantu menyampaikan niat saya sebelum kami mula mengenali antara satu sama lain dan jatuh cinta,” katanya ketika ditemui sempena jamuan sambutan Aidilfitri bersama pesakit dan kakitangan PHZ Bukit Mertajam di Permatang Rawa, semalam.

Mat Yunus berkata, selepas bercinta selama tiga bulan dan sering melakukan rawatan bersama, percintaan mereka mula disedari ibunya dan menjodohkan mereka sebelum mendirikan rumah tangga pada 2005.

Katanya, isterinya memilih saya sebagai suami atas dasar cinta dan lebih mudah bagi mereka menjalani kehidupan sebagai suami isteri apabila dapat menerima kekurangan diri masing-masing.

Menurutnya, dia dikesan mengalami kerosakan buah pinggang pada 1994.

Isterinya pula kehilangan buah pinggang kiri manakala buah pinggang kanannya rosak sejak 2002.

Mat Yunus berkata, selain mengalami kerosakan buah pinggang, isterinya menghidap darah tinggi.

Mereka bersyukur mendapat bantuan rawatan dialisis dibiayai Zakat Pulau Pinang (ZPP) serta bantuan sebanyak RM220 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Walaupun menghidap penyakit sama dan belum dikurniakan cahaya mata, kami tetap menjalani kehidupan seperti biasa dengan masing-masing bekerja bagi menyara kehidupan bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 12:21 PM