MAT Yunus bersama Siti Sarah yang terlantar akibat diserang strok pada 27 Disember tahun lalu ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Kubang Semang, Bukit Mertajam. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
MAT Yunus bersama Siti Sarah yang terlantar akibat diserang strok pada 27 Disember tahun lalu ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Kubang Semang, Bukit Mertajam. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
Muhammad Shalaby Shahbuddin - 26.02.2018


“SAYA buntu untuk menyediakan kos lebih RM2,000 setiap bulan.”

Itu rintihan Mat Yunus Ayub, 42, yang perlu membiayai kos perkhidmatan ambulans buat isterinya, Siti Sarah Mohd Rodzi, 36, yang kini terlantar di rumah akibat strok sejak hujung Disember tahun lalu.

Mat Yunus berkata, dia dan isteri menghidap penyakit sama iaitu kerosakan buah pinggang.

Dia dikesan mengalami kerosakan buah pinggang pada 1994 manakala isterinya pula kehilangan buah pinggang kiri manakala buah pinggang kanan rosak sejak 2002.

Dia berkata, sehingga kini mereka masih belum dikurniakan cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga pada 2005, namun dia perlu reda apabila isterinya yang juga menghidap darah tinggi diserang angin ahmar hingga lumpuh sebelah kanan badan pada 27 Disember tahun lalu.

"Saya dan isteri perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di dua lokasi berlainan iaitu di Permatang Rawa dan Tasek Gelugor, namun disebabkan keadaan Siti Sarah yang terlantar menyebabkan saya perlu mendapatkan perkhidmatan ambulans, sekali gus dicaj RM160 untuk pergi dan balik.

"Namun, pernah dalam satu masa, selain melakukan rawatan dialisis, Siti Sarah perlu berjumpa doktor pakar di beberapa hospital mengikut jadual ditetapkan sehingga dikenakan caj hampir RM300 dan saya amat bimbang jika rawatan susulannya akan terabai jika tiada duit pada masa itu," katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam.

Mat Yunus berkata, dia yang dulunya bekerja menjaga kolam ikan di Lunas, Kulim terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu berikutan perlu memberikan perhatian pada isterinya yang kini ditempatkan di rumah ibu saudaranya berdekatan dengan rumahnya sejak awal Januari lalu.

Dia berkata, dia bersyukur menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM220 senulam dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) RM350 sebulan serta pembiayaan rawatan dialisis, namun kos dan perbelanjaan harian tinggi termasuk keperluan dia dan isteri membuatkannya berada dalam keadaan tertekan.

"Saya tidak tahu kepada siapa lagi nak minta bantuan ketika ini dan simpanan ada pun sudah digunakan untuk membayar caj ambulans bagi mengelakkan rawatan susulan strok dan dialisis Siti Sarah tidak terabai begitu sahaja.

"Siti Sarah ketika ini hanya terlantar di atas tilam dan mengambil masa lama untuk sembuh dan saya sudah memohon katil boleh laras daripada ZPP bagi memberikan keselesaan buatnya selain memudahkan saya menguruskannya," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) 0710329000254795 atas nama Mat Yunus Ayub atau menghubunginya di talian 017-4330501.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 10:38 PM