Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Seramai 249 pelajar di lima institusi pendidikan menengah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) lulus 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan semalam.

Keputusan itu sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang yang direkodkan sebelum ini di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMISTA) Kuala Lumpur, Pondok Moden Al-Abaqirah (PMA), SMA MAIWP Labuan dan Ma'alim Al-Sunan li Dirasati Al-Sunnah Al-Nabawiyyah.

SMA-MAIWP Kuala Lumpur merekodkan seramai tujuh pelajar mendapat 11A, sembilan orang 10A, dan lapan orang memperoleh 9A manakala SMA-MAIWP Labuan mencatatkan seorang pelajar mendapat 10A.

Di SMISTA, seramai 4 pelajar mendapat 12A, lapan orang 11A dan 10 orang 10 A.

Seramai sembilan pelajar PMA pula mendapat kesemua 8A dan lapan orang memperoleh keputusan 7A.

Di MSN pula, seorang pelajarnya memperoleh 7A.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, meskipun banyak cabaran berikutan pelajar perlu mengharungi sesi pembelajaran dan peperiksaan dalam tempoh pandemik Covid-19, mereka masih mampu mencatatkan kejayaan membanggakan.

"Saya berharap pencapaian ini akan menjadi pembakar semangat untuk mendorong calon SPM 2022 berusaha lebih gigih bagi memperoleh pencapaian yang lebih baik daripada calon peperiksaan 2021.

"Prestasi berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), keseluruhannya menunjukkan peningkatan dan penurunan yang kecil," katanya dalam sidang Majlis Pengumuman Keputusan SPM Institusi Pendidikan MAIWP 2021 di sini, hari ini.

Menurutnya, GPS SMISTA mencapai kedudukan terbaik iaitu 2.08 berbanding 2.55 pada 2020, manakala GPS MNS pula berada 2.49 berbanding 3.38 pada 2020.

"Namun, GPS SMA MAIWP KL menunjukkan sedikit penurunan, iaitu daripada 2.06 pada 2021 kepada 2.39. Begitu juga GPS SMA MAIWP Labuan menurun daripada 3.26 tahun 2020 kepada 3.92 tahun 2021.

"GPS PMA juga menunjukkan sedikit penurunan iaitu daripada 1.97 kepada 2.35," katanya.

Diminta mengulas berkenaan penurunan kecil GPS di beberapa institusi pendidikan menengah MAIWP, Nizam tidak menolak kemungkinan situasi pembelajaran dan perubahan silibus berikutan pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap perkara itu.

"Biarpun begitu, kita masih lagi berada dalam kedudukan yang baik dalam senarai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). SMISTA berada pada kedudukan kesembilan, SMA MAIWP Kuala Lumpur (11) dan SMA MAIWP Labuan (86) daripada 180 SABK di seluruh negara.

"Kita percaya pencapaian ini mampu ditingkatkan lagi pada masa akan datang dengan mempergiatkan dan mempelbagaikan lagi program kecemerlangan bagi memastikan duit zakat kita ini mampu melahirkan keputusan terbaik bukan sahaja membabitkan pencapaian peperiksaan malah kemenjadian pelajar itu sendiri," katanya.

Mohd Nizam berkata, pelajar MAIWP yang memperoleh keputusan cemerlang dan layak menyambung pelajaran, bantuan akan terus disalurkan dalam aspek Bantuan Am Pelajaran IPT dan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang.

"Bantuan diberikan bukan setakat dalam bidang pengajian Islam seperti yang viral sebelum ini. Hakikatnya, duit zakat yang diberikan turut digunakan untuk bidang lain seperti undang-undang, kejuruteraan dan sebagainya.

"MAIWP akan terus membantu bagi memastikan anak di Wilayah Persekutuan bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah menjadi perintis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 1:24 PM
Sidang media Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkenaan keputusan SPM MAIWP di Bangunan PERKIM. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.
Sidang media Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkenaan keputusan SPM MAIWP di Bangunan PERKIM. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.