Mohd Nasif Badruddin

Biarpun berbeza latar belakang dan datang dari sekolah sekolah harian, pelajar baru di Pondok Moden al-Abaqirah (PMA), Kuala Lumpur tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri kerana persekitarannya tidak jauh berbeza dengan suasana pembelajaran sebelum ini.

Pelajar tingkatan lima, Wan Muhammad Syahmi Wan Saifuddin, 17, berkata, dia tidak menyangka diterima masuk ke pondok itu kerana pemilihan pelajar sangat ketat meskipun mendapat 8A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Subang sebelum ini.

Katanya, dia teruja terpilih ke PMA kerana pada awalnya tidak yakin diterima masuk sewaktu sesi temu duga dijalankan.

“Mula-mula rasa terbeban juga kerana terpaksa belajar banyak perkara dan dalam bahasa Arab namun ibarat alah bisa tegal biasa saya dapat mengadaptasi kehidupan di sini secara berperingkat.

“Sebelum ini saya belajar di sekolah harian dan rasa janggal apabila terpaksa tinggal di asrama dengan orang tidak dikenali namun saya bersyukur kerana ramai membantu dan tiada jurang antara senior dengan junior,” katanya.

Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, jika diikutkan memang penat kerana pelajar dimestikan mengikut modul ditetapkan dalam masa empat tahun belajar di PMA.

Begitupun, katanya, pelajar perlu pandai membahagikan masa untuk mencapai kejayaan diimpikan, sekali gus merealisasikan misi pondok untuk mengangkatkan lagi sistem pendidikan Islam mengikut cara turathi (sistem pembelajaran ulama terdahulu) yang diajar secara talaqqi dan syafawi melalui mulut tuan guru dari helaian ke helaian kitab berikutnya.

“Pada waktu pagi saya akan fokus kepada kelas akademik dan waktu malam atau masa terluang lain digunakan untuk mengulang kaji kitab turath serta al-Quran,” katanya yang merancang melanjutkan pengajian dalam bidang hadis di timur tengah.

Katanya, pelajar perlu memahami teks kitab dengan baik supaya mudah menghafal selain mengulang kaji bersama rakan.

Menurutnya, sistem pondok moden amat unik dan perlu diperluaskan kerana mempunyai kelebihan dalam bahasa Arab serta al-Quran selain kehidupan di asrama yang dekat dengan pelbagai kemudahan memudahkan urusan harian pelajar terutama untuk mengulangkaji dan berjumpa guru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:59 AM
PELAJAR mengisi masa lapang dengan mengaji al-Quran di tempat terbuka.
PELAJAR mengisi masa lapang dengan mengaji al-Quran di tempat terbuka.
WAN Muhammad Syahmi
WAN Muhammad Syahmi
PELAJAR tekun mengikuti  pengajian  di dalam kelas.
PELAJAR tekun mengikuti pengajian di dalam kelas.