Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 21 pekebun sayur disyaki cuba memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa di Cameron Highlands, Pahang, dalam satu operasi khas dikenali sebagai ‘Ops Sejuk’.

Kelmarin, 19 individu ditahan termasuk lelaki warga Bangladesh berusia 42 tahun yang menetap di negara ini sejak 10 tahun lalu selain mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat di Cameron Highlands.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Syukri Abdull dalam kenyataan rasminya berkata, dua lagi individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan semalam.

“Semua 16 orang ditahan di premis masing-masing manakala lima individu menyerah diri di Pejabat SPRM Perak di Ipoh termasuk dua lagi individu pagi ini (semalam).

“Siasatan mendapati warganegara Bangladesh itu mempunyai kepentingan dalam syarikat di Cameron Highlands bernilai RM500,000 dan sebuah Toyota Camry,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, semua ditahan berusia antara 20 dan 68 tahun dan dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:09 AM