RAMLI menunjukkan wang tunai dan peralatan yang dirampas daripada penjenayah di Cameron Highlanmds. FOTO Ihsan PDRM
RAMLI menunjukkan wang tunai dan peralatan yang dirampas daripada penjenayah di Cameron Highlanmds. FOTO Ihsan PDRM
Asrol Awang

Kuantan: Enam individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki melarikan wang tunai RM260,000 selepas memecah cermin kenderaan mewah di Tanah Rata, Cameron Highlands, kelmarin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, enam individu berusia antara 19 dan 38 tahun itu ditahan di Brinchang pada 11.40 malam.

Katanya, penahanan mereka dibuat selepas polis menerima laporan berlaku kes pecah cermin kenderaan pada 10.50 malam.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands berjaya menahan enam suspek kurang daripada sejam.

"Pemeriksaan lanjut menemukan wang tunai RM260,000 dan beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

"Turut dirampas ialah empat peket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 34.74 gram dan satu peket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 4.2 gram.

"Polis juga merampas sebuah kereta Perodua Myvi serta pelbagai barang kemas, tiga jongkong emas, 10 telefon bimbit dan sebuah beg berisi wang tunai berjumlah RM3,843," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan lanjut mendapati dua suspek mengaku terbabit dalam tujuh kes pecah cermin kereta dan mencuri barang di sekitar Cameron Highlands.

Katanya, suspek terbabit turut mendedahkan pembabitan dua lagi rakan jenayah mereka dalam kegiatan itu yang masih bebas.

"Berikutan itu, usaha mengesan dua suspek dikenali Muhammad Zaidi Zainal dan Faiz sedang dijalankan.

"Dengan penahanan enam individu terbabit, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah cermin kenderaan yang berlaku di sekitar Cameron Highlands.

"Saringan ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamin," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 394 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 2:34 PM