Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) akan mengheret 30 peniaga ke mahkamah selepas dikesan melakukan kesalahan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun tidak berdaftar dibawah Akta GST 2014.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam berkata, tindakan peniaga ini dikesan hasil aduan orang ramai dalam tempoh tiga hari pelaksanaan sistem percukaian baru itu.

Katanya, ia adalah kesalahan serius dan pihaknya akan melakukan pendakwaan terhadap 30 peniaga ini tidak lama lagi kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 33 (10) (b) akta berkenaan.

“Kebanyakan yang melakukan kesalahan ini adalah premis menjual makanan dan peruncit di sekitar Lembah Klang. Siasatan terhadap peniaga ini sudah dijalankan dan apabila kertas siasatan selesai serta cukup bukti, akan ada syarikat yang akan dibawa ke mahkamah.

“Jika bersalah, peniaga boleh dikenakan denda RM30,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad.

Subromaniam berkata, selain kesalahan itu, tiga lagi kesalahan dikesan JDKM iaitu tidak mengeluarkan invois termasuk tiada nombor pengenalan 12 digit GST; tiada kuantiti, dan keterangan barang tidak jelas sebanyak 29 kes.

Katanya, selain itu premis berdaftar tidak mengeluarkan invois atas jualan dengan mencatatkan jualan dalam buku atau kotak rokok sebanyak sembilan kes.

Menurutnya, kesalahan lain adalah peniaga mengenakan GST atas pembekalan yang sepatutnya berkadar sifar seperti buah-buahan sebanyak satu kes.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan harga makanan dan minuman di kantin sekolah adalah dikecualikan daripada GST dan pengusaha tidak boleh menaikkan harga sesuka hati.

“Ini kerana ia termasuk dalam pengecualian di bawah perkhidmatan pendidikan. Jadi perkara ini tidak sepatutnya berlaku,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hanya 59 transaksi nilai tuntutan balik GST berjumlah RM7,039.30 dibuat pelancong yang dibelanja di negara ini dalam tempoh tiga hari pelaksanaan GST.

Katanya, angka itu menunjukkan tidak ramai pelancong yang menuntut balik GST ketika meninggalkan negara ini melalui lapan lapangan terbang antarabangsa.

“Walaupun pelancong yang berbelanja di 707 kedai yang disahkan JKDM boleh membuat tuntutan balik GST, tetapi tidak ramai yang berbuat demikian.

“Banyak faktor yang menyebabkan perkara ini termasuk tiada masa membuat tuntutan,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan supaya sijil GST dipamerkan di premis perniagaan, Katanya, tindakan itu tidak berkesan kerana dokumen itu sering dipalsukan seperti yang berlaku ketika pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:37 AM