Ipoh: Ketiadaan data mengenai kos sebenar pengeluaran sesuatu barangan memungkinkan pihak pengeluar dan peniaga menaikkan harga terlebih dulu sebelum cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus dilaksanakan bermula April ini.

Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Mohd Sabri Saat berkata, keadaan berkenaan tidak dinafikan boleh berlaku malah, mungkin sudah dilakukan oleh pihak peniaga atau pengeluar yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, jika perkara itu berlaku sudah pasti kenaikan harga barang berkenaan meningkat secara melampau berbanding kenaikan satu hingga tiga peratus yang dijangka selepas GST dikuatkuasakan.

“Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan peniaga sudah mengetahui terlebih dulu bila ia (GST) akan dilaksanakan dan mengambil kesempatan dari tempoh pelaksanaan itu untuk menaikkan harga.

“Terdapat peniaga yang ‘bijak’ dan tegar yang akan mengambil kesempatan, justeru penting untuk mendidik peniaga supaya memastikan ia tidak berlaku,” katanya selepas menghadiri Seminar Pelaksanaan GST, Implikasi Terhadap Anda anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:37 AM