Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bercadang untuk mewujudkan satu mahkamah khas bagi membicarakan peniaga yang dikenakan tindakan akibat kesalahan mengambil kesempatan terhadap pengguna selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan tahun depan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, langkah itu bagi memastikan aduan orang ramai berhubung kenaikan harga barang susulan pelaksanaan GST dapat diberi perhatian segera menerusi tindakan di mahkamah terbabit.

Katanya, selain itu juga, kementerian turut menambah seramai 400 lagi pegawai penguat kuasa bagi melakukan pemantauan terhadap harga barangan di seluruh negara.

“Memang kita sudah melihat mungkin trend kenaikan harga akan berlaku jadi sebab itu pegawai penguat kuasa dari kementerian dipohon dan diluluskan lebih 400 tambahan lagi menjadikan semua 2,200 pegawai penguatkuasa yang akan mula memantau dari segi pelaksanaan GST.

“Kita juga minta untuk menubuhkan mahkamah khas untuk melihat supaya kes atau laporan yang dibuat orang ramai mengenai peniaga yang menaikkan harga dapat dibicarakan dengan segera.

“Kita rancang untuk mewujudkan mahkamah khas ini apabila GST mula dilaksanakan bagi memastikan tidak ada peniaga mengambil kesempatan ke atas pengguna,” katanya pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) sama ada terdapat garis panduan atau peraturan jelas mengenai keuntungan berlebihan yang dikenakan peniaga kerana dikhuatiri pelaksanaan GST akan menyebabkan peniaga menaikkan harga yang membebankan rakyat.

Terdahulu, Leong dalam soalan asal mahu dinyatakan mengenai tindakan diambil untuk mengawal peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan usaha Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup dalam mengawal harga dan keberkesanannya setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:07 AM