Kuala Lumpur: Seorang pembantu am dan seorang pelajar sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang remaja, tahun lalu.

Muhammad Shafiq Sharif, 20, dan pelajar lelaki berumur 16 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kematian Muhammad Khairul Fadzmy Shahrulnizam, 19, di sebuah pondok di Tasik Ong Tai Kim, Setapak, Wangsa Maju di sini, pada jam 11 malam, 13 November 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes itu sebelum ini didengar di Mahkamah Majistret. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff tidak menawarkan ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan pertuduhan itu adalah serius.

Bagaimanapun, peguam Suriati Che Arifin yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin kerana ketika kes itu didengar di Mahkamah Majistret, mereka dibenarkan dijamin sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Kedua-dua tertuduh dilarang mengganggu keluarga mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di Balai Polis Setapak sekali setiap bulan.

Sebutan kes ditetapkan pada 27 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:48 AM