ANGGOTA polis membahawa Rafizi ke mahkamah. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANGGOTA polis membahawa Rafizi ke mahkamah. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan Laporan Pengauditan 1MDB, dua minggu lalu.

Rafizi atau nama penuhnya Mohd Rafizi Ramli, 39, didakwa memiliki tanpa kebenaran yang sah halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB yang mana tertuduh mendapatkannya bersalahan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 serta tidak berhak menyimpannya di lobi bangunan Parlimen pada jam 3 petang, 24 Mac lalu

Bagi pertuduhan kedua, Setiausaha Agung PKR itu didakwa mendedahkan kandungan halaman itu dalam satu sidang media di tempat yang sama pada 3 petang, 28 Mac lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Rafizi didakwa masing-masing mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) dan (iv) Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 29 April ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Rafizi juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyiarkan tohmahan di laman web www.rafiziramli.com terhadap Lembaga Tabung Haji dengan ada sebab untuk mempercayai tohmahan itu akan merosakkan nama baik Lembaga Tabung Haji pada 18 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh pengurusan kes yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 1:12 PM