ANGGOTA penguat kuasa membuat pemeriksaan.
ANGGOTA penguat kuasa membuat pemeriksaan.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat dan Azma Razana Johari

Butterworth : Seorang peniaga kedai runcit ditahan selepas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menemui 1,040 batang rokok seludup di premisnya di Jalan Telaga Air, di sini, Rabu lalu.

Serbuan dilakukan pada jam 6 petang selepas JKDM membuat risikan dan menerima maklumat daripada orang awam berhubung penjualan rokok seludup.

Jurucakap JKDM berkata, antara jenama rokok yang dirampas ialah Gudang Garam, Fisher, Tex dan D&J yang keseluruhannya bernilai RM100.

“Semua rokok berkenaan disorok dalam kotak di bahagian belakang kedai runcit berkenaan.

“Selepas disoal siasat, peniaga kedai runcit berusia 35 tahun itu menunjukkan tempat dia menyimpan rokok berkenaan sebelum dirampas,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, peniaga terbabit ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di Johor Bahru, Selasa lalu, sepasukan penguat kuasa JKDM Johor merampas dua karton rokok seludup di sebuah pasar raya mini di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini.

Dalam serbuan jam 2.40 petang itu, pasukan penguat kuasa menemui bungkusan kotak disorokkan di bawah kaunter juruwang dijaga seorang warga India berusia 31 tahun.

Bagaimanapun, lelaki itu pada mulanya menafikan pasar raya terbabit menjual rokok seludup namun selepas pemeriksaan dilakukan, pihak berkuasa menemui 20 kotak rokok jenama John dan Canyon.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda 20 kali lebih tinggi daripada nilai rampasan atau kedua-duanya.

Lelaki itu ditahan dan dibawa ke Pejabat JKDM Johor untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 6:11 AM