AHMAD (kanan) bersalam dengan Aznil sambil diperhatikan Dr Mohd Shukor, semalam.
AHMAD (kanan) bersalam dengan Aznil sambil diperhatikan Dr Mohd Shukor, semalam.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Cyberjaya: Pembayar cukai kini boleh membayar cukai pendapatan masing-masing menggunakan kad kredit dan kad debit Visa, MasterCard dan American Express dikeluarkan institusi perbankan di negara ini yang disifatkan lebih mudah dan pantas.

Mereka tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan menerusi tunai di kaunter, mesin deposit tunai dan perbankan Internet berikutan pilihan yang disediakan ini untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, pembayaran menggunakan kad kredit dan kad debit itu boleh dibuat menerusi portal Bayar Hasil disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di alamat https://byrhasil.hasil.gov.my/.

Menurutnya, inisiatif terbaru yang diperkenalkan dilaksanakan LHDN dengan kerjasama Maybank itu boleh dibuat mulai semalam.

“Kaedah baru ini dilihat memberikan lebih keselesaan kepada pembayar cukai dan memudahkan urusan mereka membayar cukai.

“Ia turut diyakini mampu merealisasikan hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat lebih banyak melakukan urusan pembayaran secara dalam talian,” katanya pada sidang media selepas pelancaran sambutan Hari Hasil ke-19 dan pelancaran Hasil4U 2015, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

Pada majlis itu, Ahmad turut melancarkan kempen ‘Saya Cinta Malaysia’ yang menampilkan pengacara terkenal sebagai ikon iaitu Datuk Aznil Nawawi.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, menerusi kaedah baru itu, LHDN menyasarkan bilangan transaksi pembayaran cukai pendapatan secara dalam talian akan meningkat kepada 25 peratus berbanding 13.12 peratus daripada 7.53 juta transaksi bayaran cukai yang direkodkan pada tahun lalu.

Sementara itu, beliau berkata, RM142.646 bilion kutipan cukai disasarkan LHDN pada tahun ini berbanding RM133.694 bilion tahun lalu dengan peningkatan 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:14 AM