ORANG ramai menggunakan kaedah e-filing bagi mengisi borang cukai pendapatan individu. FOTO fail NSTP
ORANG ramai menggunakan kaedah e-filing bagi mengisi borang cukai pendapatan individu. FOTO fail NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan mengeluarkan emel [email protected] yang menghendaki pembayar cukai mengisi maklumat tertentu sebagai prosedur untuk mendapatkan bayaran balik cukai pendapatan.

LHDN dalam kenyataannya berkata, bayaran balik cukai pendapatan hanya diproses berdasarkan maklumat pembayar cukai di dalam pangkalan data LHDN sahaja.

"Emel berkenaan juga menghendaki pembayar cukai untuk memasukkan maklumat perbankan dan turut akan dipautkan dengan paparan laman web palsu perbankan pilihan mereka.

"LHDN menjangkakan emel palsu itu sedang berlegar di internet dan menasihatkan semua pembayar cukai berhati-hati dan tidak memberikan maklum balas terhadap sebarang arahan dalam emel itu," katanya hari ini.

Sebagai rekod, setakat 3 petang hari ini, LHDN menerima 17 panggilan daripada pembayar cukai untuk mengesahkan emel berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 6:43 PM