LHDN Malaysia
LHDN Malaysia
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memberi peringatan kepada semua pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan supaya segera melaporkan pendapatan mereka yang layak dikenakan cukai untuk Tahun Taksiran 2021 selewat-lewatnya pada 15 Mei ini.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif dan Jurucakap Rasmi LHDN, Ranjeet Kaur berkata, laporan pendapatan itu boleh dibuat melalui e-Filing bagi mengelakkan sebarang penalti lewat kemuka Borang Nyata Cukai dikenakan.

Menurutnya, tarikh akhir mengemuka Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 (TT 2021) bagi kategori pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan membabitkan borang jenis BE (Individu Pemastautin), BT (Individu Pemastautin; Pekerja Berpengetahuan / Berkepakaran), M (Individu Bukan Pemastautin), MT (Individu Bukan Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan), TF (Pertubuhan), TP (Harta Pusaka) dan TJ (Keluarga Sekutu Hindu).

"Panduan berkenaan pengemukaan Borang Nyata Cukai ini, pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2022 yang boleh diakses dan boleh dimuat turun bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Sehingga 30 April lalu, lebih 2.58 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 sudah diterima daripada pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan.

"Daripada angka ini, 2.48 juta atau lebih 96 peratus Borang Nyata Cukai diterima melalui kaedah e-Filing manakala selebihnya secara manual atau Borang Kertas," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, sejumlah 8,222,694 juta pembayar cukai sudah menggunakan perkhidmatan atas talian disediakan LHDN setakat April tahun ini.

Ranjeet berkata, daripada jumlah itu seramai 3,524,630 menggunakan e-filing.

Katanya, seramai 912,418 pula pembayar cukai menggunakan ByrHASIL FPX.

"Perkhidmatan atas talian lain LHDN yang digunakan pembayar cukai ialah ByrHASIL Kad Kredit (30,517), e-Daftar Individu (15,887), e-Daftar Syarikat (2,337), e-Daftar (2,539), e-Daftar Perkongsian (508), e-Daftar PLT (323), e-Data PCB (116,619), e-SPC (370,913), e-Kemaskini (18,653), STAMPS (38,626) dan e-Lejar (71)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:08 PM