KAKITANGAN JKM dan bomba memunggah barang keperluan bagi membantu mangsa banjir di Sibu.
KAKITANGAN JKM dan bomba memunggah barang keperluan bagi membantu mangsa banjir di Sibu.

Kuching: Situasi banjir di Sibu semakin buruk apabila mangsa dari bahagian dipindahkan bertambah kepada 995 orang membabitkan 218 keluarga, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,217 mangsa di negeri itu.

Menurut laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak, sehingga jam 4 petang semalam, mangsa banjir di Sibu ditempatkan di dua pusat pemindahan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tong Ah dan Rumah Panjang Watson, Selangau.

Manakala, di Betong, dua pusat penempatan masih dibuka iaitu di Dewan Panglima Rentap dan Klinik Kesihatan Nangsa Budu, Seratok menempatkan 172 mangsa, 27 keluarga.

Katanya, di Mukah, 50 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Baoh Ulu, Dalat.

Dalam perkembangan berasingan, Jalan Batu 9, Julau tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat dinaiki air kira-kira satu meter.

Selain itu, jalan lain yang turut terputus ialah jalan ke Rumah Panjang Empati, Merau Pakan; Jalan Sungai Langit, Rumah Panjang Sungai Kepayang dan Rumah Panjang Maribong kerana dinaiki air kira-kira 1.5 meter.

Malah, di Kilometer 16, Jalan Sungai Jaloh, juga tidak dapat dilalui kenderaan kerana tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:42 AM