Rohisham bersama isteri, anak dan tiga saudara iparnya yang OKU di kediaman mereka.
Rohisham bersama isteri, anak dan tiga saudara iparnya yang OKU di kediaman mereka.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: “Walau apa pun terjadi saya akan menjaga kakak ipar dan dua adik ipar kerana tidak mahu memisahkan mereka,” kata Rohisham Mohd Said, 33, di Jalan Tebuk Masjid, Kampung Sungai Tiram di sini, yang menjaga tiga iparnya juga orang kurang upaya (OKU) itu bersama isterinya Siti Zabedah Haron, 22.

Tiga iparnya yang OKU itu ialah Normala Haron, 34, Norhidayah Haron, 18, dan Siti Rosnani Haron,16.

Walaupun berpendapatan rendah, Rohisham tidak pernah mengeluh menjaga mereka di rumah peninggalan ibu mentuanya.

Menurutnya, ibu mentuanya yang meninggal sebulan sebelum perkahwinannya, sempat berpesan supaya menjaga mereka dan tidak meninggalkan rumah pusakanya.

“Saya minta isteri berhenti kerja sebagai pembantu kedai selepas dia hamil anak pertama kami (Siti Balkis yang kini berusia setahun enam bulan) dan kebetulan ketika itu tiada siapa menjaga kakak (Normala) di rumah kerana adik bersekolah.

“Kakak memerlukan pengawasan di rumah kerana dia suka memasak,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Rohisham, RM200 daripada RM800 gajinya sebagai pekerja kontrak dengan sebuah agensi kerajaan, perlu diberi kepada ibunya dan bakinya itu digunakan untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga.

“Biarpun saya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga, saya tetap mempunyai tanggungjawab kepada ibu saya,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga bulan ibu mentuanya meninggal dunia, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang untuk mengambil Siti Rosnani dan Norhidayah ke pusat jagaan mereka.

“Walaupun mereka ada kemudahan namun saya dan isteri tidak membenarkan mereka diambil kerana janji kami dengan ibu mentua,” katanya.

Menurutnya, urusan persekolahan Norhidayah dan Siti Rosnani yang belajar dalam kelas pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 10, Lekir, diuruskannya.

“Setiap pagi saya menghantar mereka bergilir-gilir dengan motosikal dan mengambil mereka pulang juga bergilir-gilir. Nasib baik majikan memahami dan memberikan kelonggaran kepada saya,” katanya yang berulang-alik hampir 10 kilometer (km) setiap hari.

Menurutnya, kakak dan adik iparnya menerima bantuan JKM dan Baitumal yang membantu meringankan bebannya namun kadang-kadang tidak mencukupi.

“Saya risau kerana status pekerjaan saya ialah pekerja kontrak walaupun sudah 13 tahun bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 10:35 AM