Keadaan Tugimin yang kini masih dirawat di HSNI.
Keadaan Tugimin yang kini masih dirawat di HSNI.
Mary Victoria Dass


“KAMI bersyukur ibu dan bapa mentua selamat susulan gas meletup di dapur rumah di Senggarang, Batu Pahat kelmarin,” kata Siti Suhaini Md Sis.

Siti Suhaini, 40-an berkata, kejadian berlaku 6 petang ketika ibu dan bapa mentuanya berada di dapur.

Menurutnya, gas di dapur meletup apabila bapa mentua, Tugimin Surat, 66, memetik api untuk memasak air.

Katanya, kejadian mengakibatkan bapa mentuanya melecur pada wajah, bahagian kaki sehingga lutut manakala ibu mentuanya, Misliah Surip, 64, melecur kaki dan tangan.

Keadaan rumah mangsa selepas gas memasak meletup kelmarin.
Keadaan rumah mangsa selepas gas memasak meletup kelmarin.

“Impak letupan yang kuat mengakibatkan kerosakan siling, bumbung serta beberapa ruang rumah.

“Ibu dan bapa mentua dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dan masih ditahan di wad untuk menerima rawatan manakala saya dan suami bergilir-gilir menjaga mereka,” katanya ketika dihubungi.

Siti Suhaini berkata, keluarganya tidak pasti punca kejadian namun dimaklumkan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

Menurutnya, kejadian mengakibatkan mereka kerugian kira-kira RM5,000 selain rumah tidak selamat dihuni buat masa ini.

Bumbung serta pelbagai barangan rumah rosak berikutan letupan gas memasak kelmarin.
Bumbung serta pelbagai barangan rumah rosak berikutan letupan gas memasak kelmarin.

“Sehingga kini kami masih belum dimaklumkan bilakah ibu dan bapa mentua akan dibenarkan pulang.

“Saya dan suami merancang membawa mereka pulang ke rumah kami di Seri Gading sementara menunggu kerosakan rumah dibaiki,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, mereka berharap ada pihak yang boleh menghulurkan bantuan bagi meringankan beban membaiki kerosakan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 6:50 PM