DR Sahol (kanan) melepaskan konvoi bantuan banjir di UiTM Shah Alam, semalam.
DR Sahol (kanan) melepaskan konvoi bantuan banjir di UiTM Shah Alam, semalam.

Shah Alam: Prihatin dengan nasib dan kesusahan yang menimpa mangsa banjir di pantai timur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Persatuan Alumni UiTM menghulurkan bantuan dalam Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir UiTM.

Misi yang turut membabitkan kira-kira 300 sukarelawan terdiri daripada pelajar itu membantu mangsa banjir dengan membersihkan kawasan serta menyediakan makanan.

Naib Canselor UiTM Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, misi kali ini tertumpu di Chenor, Pahang serta beberapa kawasan lain di daerah itu yang dilanda banjir.

“Tujuan kami kali ini adalahmembantu mangsa banjir yang mana saya anggap ia sebagai jihad kerana dapat menolong mangsa banjir dengan tenaga.

“Selain membantu penduduk untuk membersihkan kawasan sekitar yang terjejas selepas dilanda banjir, kami turut mengagihkan bantuan makanan dan bekalan air bersih,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Konvoi Misi Bantuan Banjir di Padang Kawad UiTM di sini, semalam.

Konvoi berkenaan membabitkan 18 kenderaan pacuan empat roda, tiga bas, dua lori, sebuah van perubatan dan pergigian serta 10 motosikal.

Mereka berada di kawasan itu selama sehari sebelum bertolak pulang ke Shah Alam.

Dr Sahol Hamid berkata, untuk misi itu mereka turut membawa pasukan kesihatan serta pergigian bagi memastikan mangsa banjir berada dalam keadaan sihat serta bebas dijangkiti penyakit berjangkit.

Menurutnya, berikutan sesi persekolahan akan dibuka beberapa hari lagi pihaknya turut memberi sumbangan pakaian sekolah kepada kira-kira 500 kanak-kanak yang juga mangsa banjir di pantai timur di bawah Program Titian Kasih Pantai Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:13 AM