SUKARELAWAN KUIS membersihkan kawasan terjejas akibat banjir. FOTO ihsan MPP KUIS
SUKARELAWAN KUIS membersihkan kawasan terjejas akibat banjir. FOTO ihsan MPP KUIS
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Misi Bantuan Pasca Banjir Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) diteruskan di beberapa kawasan terjejas bencana itu di Pahang, semalam.

Seramai 38 sukarelawan terdiri daripada mahasiswa dan pegawai turun padang membersihkan rumah mangsa, balai raya dan masjid di Kampung Chenor, Kampung Sekara dan Kertau, Maran.

Ketua sukarelawan, Nazef Iskandar Abdullah, 23, berkata, ia dilancarkan minggu lalu selain mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Skuad Cakna Ummah yang berpusat di sana.

UiTM melaksanakan menerusi Fakulti Perubatan menggerakkan Misi Bantuan Perubatan Bencana Banjir KPT-UiTM 2021 di Kampung Nelayan, Telok Gong, dekat sini, semalam. FOTO ihsan UiTM
UiTM melaksanakan menerusi Fakulti Perubatan menggerakkan Misi Bantuan Perubatan Bencana Banjir KPT-UiTM 2021 di Kampung Nelayan, Telok Gong, dekat sini, semalam. FOTO ihsan UiTM

"Misi Bantuan Pasca Banjir ke Pahang ini adalah misi kesembilan sejak minggu lepas. Ini juga yang pertama keluar dari negeri Selangor. Lapan misi sebelum ini kami memberi fokus di beberapa kawasan terjejas banjir seperti di Sepang, Hulu Langat, Shah Alam, Banting dan Kuala Selangor. Tidak ketinggalan di Jelebu, Negeri Sembilan. Setiap misi kebiasaannya seramai lebih kurang 40 orang sukarelawan. Paling ramai pada hari pertama misi dijalankan di Kampung Bangi, Bangi iaitu seramai 230 orang.

"Bagi misi ke Pahang ini seramai 38 sukarelawan turun padang membantu membersihkan rumah mangsa banjir di kawasan Maran, Kampung Chenor, Kampung Sekara dan sekitarnya. Di sana kami juga dibantu sebuah NGO iaitu Skuad Cakna Ummah. NGO ini ditubuhkan dan dianggotai oleh mahasiswa dari pelbagai universiti yang tinggal di kampung itu," katanya kepada Harian Metro.

Nazef juga Naib Yang Dipertua 1 (Kebajikan dan Jaringan Luar) MPP KUIS berkata, misi yang dijalankan ini bukan saja atas tanggungjawab sosial tapi lebih pada singergi antara mahasiswa dan masyarakat.

"Apa yang nak ditekankan pada misi ini, kami turun padang kerana ia adalah singergi antara mahasiswa dan masyarakat. Yang mana mahasiswa bukan hanya terperangkap dalam bilik kuliah saja tapi kuasa suara mahasiswa itu kembali pada masyarakat.

"Hidup sebagai mahasiswa adalah kita berbakti dengan ilmu dan aktiviti pada masyarakat sekaligus membuktikan dunia universiti bukan hanya sebagai sebuah kilang cetak graduan tapi tempat lahirkan pemimpin dan juga anak muda yang mempunyai agenda dan jati diri terhadap negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 12:42 PM