PENGAJAR dan pelatih Pusat Kejuruteraan Automotif UMP menyelenggara kenderaan yang rosak akibat banjir.
PENGAJAR dan pelatih Pusat Kejuruteraan Automotif UMP menyelenggara kenderaan yang rosak akibat banjir.
Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Pusat Kejuruteraan Automotif Universiti Malaysia Pahang (UMP) tidak mengenakan upah penyelenggaraan kenderaan kepada mangsa banjir sebagai alternatif membantu meringankan beban mereka yang terpaksa menanggung kerugian besar akibat musibah itu, baru-baru ini.

Pengarahnya Dr Abdul Adam Abdullah berkata, inisiatif itu antara usaha pihaknya membantu mangsa banjir yang boleh menggunakan wang dimiliki untuk menggantikan pelbagai barangan lain yang rosak ditenggelami air.

“Menerusi program ini kami menawarkan perkhidmatan membaiki kenderaan secara percuma dan orang ramai hanya perlu membawa kenderaan masing-masing ke UMP seterusnya membayar alat ganti yang rosak.

“Kami mahu mengelak penipuan yang mungkin cuba dilakukan pengusaha bengkel dengan mengesyorkan kepada pengguna supaya menukar alat ganti tidak rosak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai ramai tenaga pakar terdiri daripada pelajar dan pensyarah berkebolehan membaiki pelbagai kenderaan milik mangsa banjir.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pusat Servis Kenderaan Honda Macinda Auto Sdn Bhd Alan Lee berkata, pihaknya sehingga kini menyelenggara dua kenderaan yang mengalami kerosakan pada sistem elektronik akibat banjir yang melanda Kemaman, Terengganu.

“Kenderaan itu ditarik dari Kemaman ke Kuantan kerana ketiadaan Pusat Servis Honda, kami memeriksanya terlebih dulu bagi melihat kerosakan dan alat ganti diperlukan sebelum membaikinya.

“Honda menawarkan diskaun 50 peratus bagi menggantikan alat ganti rosak disebabkan banjir. Selain itu, pemilik kenderaan perlu membuat laporan polis dan menunjukkan polisi insurans tidak dilindungi bencana sebelum layak mendapat tawaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 6:55 AM