Pelanggan Honda Insurance Plus (HiP) yang mengalami kerosakan akibat banjir bakal menerima elaun banjir sehingga RM1,500.
Pelanggan Honda Insurance Plus (HiP) yang mengalami kerosakan akibat banjir bakal menerima elaun banjir sehingga RM1,500.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia mengumumkan Program Bantuan Banjir buat pemilik kenderaan Honda yang terkesan dengan banjir yang berlaku baru-baru ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo berkata, pihaknya turut bersedih dengan situasi bencana banjir yang berlaku mengakibatkan ramai terpaksa meninggalkan kediaman mereka selain berdepan kerugian kerana kerosakan harta benda dan kenderaan.

"Melalui Program Bantuan Banjir Honda bermula hari ini sehingga 31 Januari 2022, ia diharap dapat membantu mengurangkan beban pelanggan kami yang terbabit dengan bencana itu dan terus kekal selamat dalam tempoh mencabar ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemilik kenderaan yang terkesan akan ditawarkan diskaun sebanyak 25 peratus untuk alat ganti tulen menerusi program ini.

Pelanggan yang melanggan Honda Insurance Plus (HiP) boleh menikmati pemeriksaan percuma untuk memastikan kereta dalam keadaan baik terutama sekali selepas banjir.

Sebagai tambahan, pelanggan HiP yang mengalami kerosakan akibat banjir juga disediakan dengan khidmat trak tunda untuk dibawa ke pusat servis Honda sah berhampiran dan menerima elaun banjir sehingga RM1,500.

Honda Malaysia juga bekerja rapat dengan pihak insurans untuk menilai kerosakan bagi urusan tuntutan kepada pelanggan mereka.

HiP dengan tiga teras utama iaitu Rescue, Protection dan Savings seiring dengan komitmen Honda Malaysia dalam menawarkan kelegaan kepada pemilik menerusi perlindungan yang menyeluruh untuk kenderaan mereka selain bantuan jalanan sepanjang masa dan di mana juga lokasi.

Untuk maklumat lanjut Program Bantuan Banjir Honda dan HiP boleh layari www.honda.com.my atau hubungi talian bebas tol Honda Malaysia 1-800-88-2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 1:30 PM