PUSAT servis Proton menerima 600 kenderaan sehingga kini.
PUSAT servis Proton menerima 600 kenderaan sehingga kini.

Kuala Lumpur: Proton menawarkan pakej bantuan pelanggan yang dipertingkat bagi meringankan beban kewangan untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir menerusi diskaun 50 peratus bagi alat ganti terpilih untuk semua model, kecuali Proton X50 dan Proton X70.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata, pakej baharu dan ditambah baik itu merangkumi servis tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma, selain diskaun caj buruh ditingkatkan kepada 25 peratus untuk semua model kenderaan.

"Sehingga kini, pusat servis Proton menerima 600 kenderaan dan lebih banyak kenderaan dijangka tiba pada hari dan minggu akan datang.

"Proton bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini berikutan kebanyakannya terdiri daripada kumpulan B40.

"Sehubungan itu, kami meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka," katanya.

Bagi pemilik Proton X50 dan Proton X70, diskaun alat ganti terpilih dinaikkan kepada 25 peratus berbanding 20 peratus seperti diumumkan sebelum ini.

Pelanggan diinsuranskan bawah Program Insurans Proton layak menerima bayaran bantuan banjir RM1,000.

Tawaran bantuan boleh didapati daripada pengedar 3S/4S Proton terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 7:04 AM