SEBAHAGIAN daripada kakitangan JUPEM yang terkandas di Gunung Gagau diselamatkan dan dibawa ke Jeti Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir. Gambar kecil, Emmy  Zuzzaidy.
SEBAHAGIAN daripada kakitangan JUPEM yang terkandas di Gunung Gagau diselamatkan dan dibawa ke Jeti Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir. Gambar kecil, Emmy Zuzzaidy.

Kuala Berang: Sekumpulan 26 kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta empat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkandas di Gunung Gagau, Tasik Kenyir, ditemui selamat.

Mereka diselamatkan sepasukan 17 anggota dari Ibu Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang jam 2.30 petang semalam.

Seorang mangsa, penolong juru ukur Seksyen Topografi Wilayah Timur Pahang Muhamad Suhaimi Ismail, 32, berkata, mereka tiba di Gunung Gagau pada 5 Disember lalu untuk melakukan kerja mengukur sempadan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Jika ikutkan jadual, kami akan pulang pada 19 Disember (Jumaat), namun helikopter yang sepatutnya datang membawa kami tidak dapat datang berikutan cuaca buruk.

“Ketika itu, bekalan makanan yang kami bawa juga kehabisan, cuma yang tinggal makanan ringan. Hujan juga tidak berhenti di kawasan puncak gunung,” katanya ketika ditemui di jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, semalam.

Anggota PGA yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan, Emmy Zuzzaidy Mohd Yusof, 29, berkata, pengalaman itu pertama kali dilalui sepanjang empat tahun berkhidmat.

“Sepanjang saya bekerja, ini kejadian paling mencabar. Saya bukan saja perlu menempuh laluan berliku tetapi bermalam sebelum meneruskan perjalanan.

“Biarpun keadaan diri kesejukan dan keletihan, saya kuatkan semangat berjalan untuk turun ke Sungai Cicir sebelum diselamatkan pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Nor Mahathir Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10 pagi kelmarin.

Beliau berkata, pasukan penyelamat bersama empat bot menjalankan misi menyelamat ke gunung berkenaan, jam 10 pagi semalam.

“Kita mengambil masa dua jam untuk tiba di Sungai Cicir dari jeti Pengkalan Gawi. Mangsa yang diselamatkan membabitkan 22 orang daripada JUPEM dan empat anggota PGA berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Kita difahamkan terdapat satu kumpulan lagi, seramai 27 orang lagi masih berada di atas gunung itu. Namun, berikutan cuaca buruk menghalang untuk kita melakukan misi menyelamat.

“Mereka akan bermalam di atas gunung itu sebelum turun ke Sungai Cicir hari ini (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 9:04 AM