kemalangan yang mengorbankan penunggang dan pembonceng motosikal. FOTO Farah Suhaidah Othman
kemalangan yang mengorbankan penunggang dan pembonceng motosikal. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


Gopeng : Penunggang dan pembonceng motosikal maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Gua Tempurung di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa Asaya Abdul Rahim, 50, dan Muhammad Amirul Mukminin Muhammad Shuhaimi 16, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah lori tanpa muatan melanggar belakang Toyota Hilux sebelum kenderaan pacuan empat roda itu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng Rohana Mustafa berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.06 pagi sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

"Setiba di lokasi kejadian, penunggang dan pembonceng motosikal disahkan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Noor Janihan Nanyan mengesahkan kejadian.

Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala pemandu pacuan empat roda hanya cedera ringan dan dihantar hospital sama untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 2:07 PM