Shah Alam: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tengku Abd Samad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah yang juga Tengku Panglima Besar Selangor mendahului senarai pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Selangor sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-69 hari ini.

Sultan Nazrin dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DK) manakala Tengku Abd Samad Shah dianugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DKII).

Seramai 102 individu menerima penganugerahan berkenaan membabitkan 29 yang mempunyai gelaran manakala bakinya 73 tiada gelaran.

Turut dikurniakan darjah dan pingat kebesaran adalah 27 individu lain termasuk Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) membawa gelaran Datuk Seri.

Baginda Sultan Selangor juga berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) kepada Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail yang membawa gelaran Datuk Setia.

Seramai 11 penerima menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk kepada penerima lelaki dan Datin Paduka kepada penerima wanita.

Mereka ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi; Duta Malaysia ke London Datuk Ahmad Rasidi Hazizi; Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Luar Negeri Datuk Rustam Yahaya; Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat Datuk Suhaimi Mohd Zuki; Panglima Armada merangkap Panglima Bantuan Markas Pemerintahan Armada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Datuk Mohamad Roslan Mohd Ramli serta Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Shahrani Mohd Sany.

Penerima lain ialah Pengarah Urusan NRY Architects Sdn Bhd Datuk Mohamed Nazim Tun Abdul Razak; Profesor Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Ir Abdul Ghani Hashim.

Sementara itu, seramai 13 penerima akan dianugerahkan dengan darjah kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk bagi penerima lelaki dan Datin Paduka bagi penerima wanita.

Mereka ialah CEO Public Bank Berhad Tengku Iskandar Shah Tengku Ismail Shah; Ketua Jabatan Pengarah Jabatan Arah Rekod dan Pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brigedier Jeneral Nazri Abu Bakar; Panglima Markas 5 Briged Kem Lok Kawi Sabah Brigedier Jeneral Jalaluddin Manan; Pengarah Jabatan Penjara Sungai Buloh Timbalan Komisioner Penjara C Narander Singh; Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ir Mohamad Dalib dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Brunsfield Foundation Tan Sri Datuk Dr Ir Gan Thian Leong serta Pengarah Urusan KWASA Land Sdn Bhd Mohamad Lotfy Mohamad Noh.

Penerima lain ialah Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad Raja Idris Raja Kamarudin; Pelukis Datuk Mohammad Nor Khalid (Datuk Lat); Pakar Perubatan Kanak-Kanak Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby Dr Lee Eng Lam; Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Dr Dahlia Rosly; Pengarah Audit Jabatan Audit Negara Ong Swee Leng serta Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor Mohamad Yasid Bidin.

Seramai 14 orang menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) antaranya Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Slamat Yahya dan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Muhammad Farhan Wijaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 8:18 AM