Dua mangga kunci hancur  diumpil  pencuri.
Dua mangga kunci hancur diumpil pencuri.

Alor Gajah: Beberapa jemaah Masjid Saga, Ayer Paabas, di sini, terkejut selepas mendapati mangga pada dua tabung besi di masjid berkenaan bersepai di atas lantai selepas diumpil pencuri, awal pagi kelmarin.

Malah, sejumlah wang tersimpan sejak dua minggu lalu turut lesap.

Naib Pengerusi Masjid Saga Wahit Kadam, 67, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang jemaah yang ingin menunaikan solat Subuh jam 5.30 pagi.

“Saya bersama beberapa jemaah memeriksa tabung yang diletakkan di kiri serta kanan pintu masuk dan mendapati ia sudah terbuka manakala, dua mangga bertaburan atas lantai.

“Pada awalnya saya hanya memeriksa pintu jeriji besi hadapan dan mendapati terdapat kesan umpilan dipercayai menggunakan benda keras,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, dua minggu lalu, masjid itu turut kehilangan wang tabung dipercayai dilakukan pencuri sama.

“Sehari selepas wang derma dalam dua tabung itu dikeluarkan, kedua-dua tabung besi berkenaan diumpil pencuri yang dipercayai datang pada waktu tengah malam namun pencuri terbabit balik dengan tangan kosong kerana wang tabung sudah dikeluarkan.

“Namun pada kali ini, dianggarkan wang derma RM300 dilarikan pencuri terbabit. Kejadian dipercayai dilakukan lebih seorang berdasarkan cara mereka meleraikan dua mangga hingga bersepai sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:13 AM