Kelibat suspek yang dirakam CCTV ketika mencuri wang. (Gambar kecil) Tabung yang diumpil. FOTO Khalid Latip
Kelibat suspek yang dirakam CCTV ketika mencuri wang. (Gambar kecil) Tabung yang diumpil. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


BUKAN saja gereja di Kapit, Sarikei dipecah masuk minggu lalu, kali ini Masjid Al-Ansar di Kampung Selalang di sini turut dijadikan ‘lubuk’ beberapa lelaki untuk mendapatkan wang mudah kelmarin.

Dua lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya itu menjadikan awal pagi memasuki masjid berkenaan sebelum melarikan wang tunai dalam tabung hasil kutipan derma jemaah masjid.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan jam 4.58 pagi.

Setiausaha Pengurusan Masjid Al Ansar, Zakaria Kasim berkata, dia tiba di masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh sebelum menyedari satu daripada tabung derma di dalam masjid ada kesan umpil.

“Rakaman CCTV diteliti sebelum mendapati dua lelaki meletakkan motosikal di hentian bas berhampiran masjid sebelum berjalan masuk ke ruang solat.

“Kedua-dua suspek kemudian berlegar seketika di dalam masjid ini sebelum seorang daripada mereka menghampiri tabung dan cuba memotong mangga bahagian atas namun gagal.

“Seorang lagi suspek kemudian membantu dan mengumpil pintu tabung sebelum terkopak dan mengambil sejumlah wang di dalamnya dan bergegas melarikan diri,” katanya hari ini.

Menurutnya, kejadian itu sudah berlaku beberapa kali sebelum ini menyebabkan jawatankuasa pengurusan terpaksa menggantikan tabung lama dengan yang baharu selain memasang CCTV untuk tujuan keselamatan.

Katanya, sebelum ini masjid berkenaan menggunakan tabung kayu namun ditukar dengan tabung besi yang dilekatkan pada tiang berkenaan.

Susulan kejadian itu, pihaknya sudah membuat laporan polis pada hari sama untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:56 AM