Aizat Sharif

Kangar: Berbekalkan mesin pemotong besi, seorang lelaki nekad memecah masuk pejabat Masjid Al Muqarrabin Behor Empiang, sebelum melarikan duit kutipan harian berjumlah RM200, kelmarin.

Namun, setiap aksi jenayahnya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di beberapa bahagian dalam masjid berkenaan.

Lebih mengejutkan suspek sanggup memotong mangga kunci pintu jeriji yang menghadang pintu kayu pejabat masjid menggunakan mesin pemotong besi sehingga menghasilkan percikan api.

Meskipun hasil diperoleh pencuri itu tidaklah sebesar mana, kejadian terbabit amat membimbangkan masyarakat kerana pencuri kini sudah mula mengalihkan kegiatan jenayahnya di rumah ibadah.

Ketua Polis Daerah Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan selanjutnya sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

Ahli Jawatankuasa Masjid Al Muqarrabin yang juga Bilal II Yusof Othman berkata, Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.10 pagi sebaik seorang ahli jawatankuasa selesai bertugas membersihkan masjid itu.

Menurutnya, selepas ahli jawatankuasa itu meninggalkan masjid, datang seorang lelaki berkemeja-T berwarna hitam dan berseluar panjang memasuki ke dalam masjid melalui beranda di bahagian kiri.

“Biasanya di waktu siang, masjid ini tidak berkunci terutama di ruang solat kerana ingin memberi peluang kepada jemaah untuk menunaikan solat dalam keadaan selesa disebabkan ia mempunyai alat penghawa dingin.

“Selepas memasuki ruang solat, lelaki itu menghampiri pintu pejabat masjid dan mendapati pintu jeriji yang menghadang pintu kayu pejabat dikunci dengan menggunakan mangga,” katanya.

Harian Metro difahamkan, meskipun terhalang oleh pintu jeriji besi, lelaki itu masih boleh membuka pintu kayu pejabat masjid dan menolaknya sehingga terbuka luas.

Menurutnya, lelaki itu terus mengeluarkan mesin pemotong besi di dalam begnya dan terus pergi ke ‘plug’ untuk memasang suis alatan itu dan tanpa bertangguh terus memotong mangga sehingga terhasil percikan api.

“Apabila mangga pintu jeriji berjaya dipotong, lelaki itu membuka pintu, namun tidak terus memasuki pejabat sebaliknya dia kemudian beredar untuk melihat sekeliling kawasan masjid bagi memastikan tiada sesiapa yang berada di situ.

“Selepas melihat tiada kelibat sesiapa, lelaki itu terus memasuki ke dalam pejabat dan menggeledah tabung yang berada di dalamnya, namun hampa kerana tabung itu kosong,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat satu tabung plastik kutipan harian diletakkan di atas meja dalam pejabat lalu dikeluarkan segala kutipan dan dimasukkan ke dalam beg lelaki itu.

“Suspek kemudian mengambil semula alat pemotong besi yang berada di luar pejabat itu sebelum melarikan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 10:55 AM
GAMBAR suspek yang dirakam CCTV.
GAMBAR suspek yang dirakam CCTV.
YUSOF (kiri) bersama Siak II Sekran@Mahmud Kasi, menunjukkan beberapa tabung derma yang dipecahkan.
YUSOF (kiri) bersama Siak II Sekran@Mahmud Kasi, menunjukkan beberapa tabung derma yang dipecahkan.