GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Polis menumpaskan Geng Tiban yang dipercayai terbabit dengan kegiatan kes pecah pejabat dan curi tabung derma di daerah ini dengan penahanan lima lelaki di sekitar Lembah Klang pada 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja sebuah pejabat di Hata Square Jalan Mewah 1/3 Pandan, di sini, yang memaklumkan mangga pintu pagar besi premis berkenaan dipecahkan pada 28 Oktober lalu.

"Pengadu juga mendapati pintu pagar besi dan pintu utama pejabat turut diumpil.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat barang yang hilang seperti telefon bimbit, sejumlah wang tunai dan pelbagai peralatan pejabat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan lima lelaki tempatan yang juga penganggur berusia antara 27 hingga 36 tahun di lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang pada 30 Oktober lalu.

"Kami turut merampas sejumlah toner mesin pencetak, decoder kamera litar tertutup (CCTV) dan sejumlah wang tunai selain pelbagai peralatan pejabat yang lain.

"Siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif melakukan kegiatan pecah pejabat dengan dipercayai terbabit tiga kes selain tiga kes lagi membabitkan kejadian curi tabung derma," katanya.

Katanya, semakan mendapati semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah.

"Ujian saringan awal dilakukan terhadap mereka pula mendapati semua suspek positif methaphetamin.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula 30 Oktober lalu hingga 6 November ini dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kes lain yang berkaitan dengan kumpulan berkenaan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 5:35 PM