Kuala Kangsar: Kemalangan meragut tiga nyawa di Kilometer 69 Jalan Ipoh - Gerik berhampiran Kampung Chuar Kati, di sini, semalam dipercayai berlaku ketika satu daripada dua kereta terbabit cuba memotong kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 1.10 pagi dan siasatan awal mendapati kereta Mercedes Benz dinaiki empat mangsa iaitu dua lelaki dan dua perempuan datang dari arah Lenggong ke Kuala Kangsar.

Katanya, Lans Koperal Safani Hassan, 28, pula memandu Proton Satria bersendirian yang datang dari arah bertentangan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang terbunuh ialah Safani, dari Negeri Sembilan dan dua penumpang Mercedes Benz, Aminnuddin Mohd Hashim, 57, dan Hanita Ariffin, 46.

Menurutnya, dua yang parah ialah dua lagi penumpang Mercedes Benz, Razali Yaakub, 55, dari Kampung Chepor, Lenggong dan Rohani Ahmad, 46, dari Kampung Lempor Hilir, Manong, dekat sini.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu anggota tentera berkenaan dipercayai cuba memotong kenderaan lain, namun gagal sebelum bertembung Mercedes Benz.

“Akibat pertembungan itu, kereta Proton Satria terbakar dan pemandunya maut rentung di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua penumpang belakang Mercedes Benz parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menerima rawatan.

Menurutnya, cuaca baik ketika kejadian dan tempat kejadian jalan lurus dua lorong dengan garis berkembar, namun kawasan berkenaan agak gelap kerana tiada lampu jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 8:28 AM