Perodua Alza yang terbabas merempuh pokok dan memasuki longkang. FOTO Ihsan Pembaca
Perodua Alza yang terbabas merempuh pokok dan memasuki longkang. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


DUA wanita cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dihimpit Mercedes Benz di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, kejadian 3 petang itu menyebabkan Perodua Alza dinaiki mereka terbabas merempuh pokok dan memasuki longkang.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang cedera pada bahagian kaki serta badan manakala pemandu serta seorang lagi penumpang selamat.

“Siasatan polis mendapati Perodua Alza dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah Senawang menuju ke Kuala Pilah berada di lorong kiri.

“Mercedes Benz dipandu wanita berusia 25 tahun dari arah belakang dipercayai cuba memotong kenderaan mangsa dari sebelah kanan lalu menghimpit kenderaan mangsa menyebabkan terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Rosli, pemandu kereta mewah itu tidak memberhentikan kereta dan kejadian itu tular di laman sosial Facebook.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu sudah membuat laporan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Katanya, pemandu Mercedes Benz sudah ditahan hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video berdurasi 22 saat yang menunjukkan Mercedes Benz menghimpit Perodua Alza sebelum kenderaan itu terbabas melanggar pokok tular di Facebook sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:41 PM