Saarani  (tengah) memegang sijil Malaysia Book of Records selepas merasmikan Majlis Selawat Perdana Kanak-Kanak Tabika KEMAS.
Saarani (tengah) memegang sijil Malaysia Book of Records selepas merasmikan Majlis Selawat Perdana Kanak-Kanak Tabika KEMAS.

Ipoh: Perak berjaya nama dalam Malaysia Book of Records apabila 1,588 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di negeri ini menyertai selawat beramai-ramai secara serentak pada Majlis Selawat dan Bacaan Doa Harian di Stadium Indera Mulia di sini, malam kelmarin.

Mereka mendapat pengiktirafan Penyertaan Teramai Kanak-kanak Tabika KEMAS Perak Berselawat.

Sijil MBOR itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohamad kepada Pengarah KEMAS negeri, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Ahmad Kamal Idris berkata, rekod itu dicipta berdasarkan penyertaan kanak-kanak teramai dan kebolehan mereka menghafal selawat berkenaan.

“Penyertaan berselawat anjuran Tabika KEMAS negeri itu menekankan aspek pembangunan modal insan dan pendidikan moral menerusi bacaan selawat dan doa harian,” katanya kepada media selepas bacaan selawat itu dan penyerahan sijil MBOR berkenaan.

Sementara itu, Saarani berkata, kemampuan seramai 1,588 kanak-kanak itu berselawat dan membaca doa harian bukti kurikulum Tabika KEMAS Negeri Perak bukan sekadar mengutamakan aspek pembelajaran duniawi semata-mata.

“Kami bukan mahu catat rekod semata-mata, tetapi mahu membuang tanggapan segelintir individu yang menuding jari mengatakan murid-murid di Tabika KEMAS hanya diajar menyanyi dan menari tanpa keseimbangan ilmu duniawi dan modal insan,” katanya.

Saarani berkata, kanak-kanak yang menyertai program berkenaan adalah sebahagian daripada 15,000 pelajar Tabika KEMAS di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:17 AM