Kemudahan infrastruktur yang meningkat dan pembangunan pesat menjadikan negeri Perak makin mendapat perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Secara tidak langsung ia mendorong peningkatan jumlah kenderaan yang memenuhi setiap ruang jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak.

Kewujudan beberapa lokasi menarik seperti Hutan Belum, Gua Tempurung, Kuala Gula, Taman Tema Lost World Of Tambun, Bukit Merah Laketown Resort dan beberapa lokasi lain turut menjadi tarikan.

Begitupun, masih kedengaran pelbagai gelaran dilontarkan segelintir pihak yang mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing mengenai negeri yang kaya dengan bijih timah ini.

Ada yang kata Perak sebagai negeri pencen dan ada pula beranggapan ia pekan mati disebabkan faktor tertentu seperti bentuk bangunan dan kekurangan kemudahan hiburan selain tarikan khususnya bagi golongan belia.

Penulis sendiri pernah bermastautin di negeri ini ketika bersekolah rendah dan menengah sekitar tahun 90-an, bagaimanapun dapat merasai kepesatan pembangunan di negeri ini berbanding 20 tahun lalu.

Pembangunan dilaksanakan kerajaan negeri dan bantuan kerajaan pusat tidak tertumpu kepada kawasan bandar, malah meliputi luar bandar dan beberapa kawasan baru.

Ia sekali gus mendorong kepada meningkatnya nilai hartanah serta mendorong kepada pelabur dari luar untuk menanam modal di negeri ini.

Malah, usaha kerajaan negeri dan pusat menyelesaikan isu penggunaan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh yang dilihat tertangguh hampir dua tahun dapat dilakukan dengan berhemah.

Pembukaan LTSAS yang semakin mendapat perhatian negara luar boleh dijadikan pentas terbaik mempromosi serta menggalakkan kehadiran pelancong luar, sekali gus mempromosi Tahun Melawat Perak serta Tahun Melawat Malaysia 2014.

Terdahulu LTSAS yang dinaik taraf di bawah peruntukan kerajaan pusat pada 2009 gagal berfungsi sepenuhnya selepas landasannya dikatakan berdepan masalah lubang benam menyebabkan ia tidak selamat buat pesawat Boeing 737 mendarat.

Kos menaik taraf LTSAS yang bermula pada April 2011 dan siap pada November 2012 itu bernilai RM37.6 juta.

Permasalahan yang berjaya dileraikan itu bagaikan rahmat buat seluruh rakyat di negeri ini.

Satu demi satu syarikat penerbangan mula melancarkan laluan penerbangan pesawat komersial mereka ke negeri ini bermula dengan Firefly laluan Johor Bahru dan Singapura, Malindo Air laluan Johor Bahru, Kuala Lumpur-Subang dan Medan, malah terbaru Sriwijaya Air laluan Medan yang dijadualkan pada 25 November ini.

Pembukaan LTSAS turut menarik minat negara China yang bercadang membuka laluan pesawat komersialnya ke bandar raya Ipoh.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan negeri juga dalam usaha menaik taraf lapangan terbang di Gerik.

Ia berikutan permintaan dan sambutan menggalakkan daripada orang awam, khususnya pelancong yang berdepan kesukaran menuju ke kawasan Hulu Perak.

Langkah kerajaan menaik taraf sebuah lagi lapangan terbang itu wajar memandangkan di Hulu Perak sendiri mempunyai banyak kawasan warisan dan pelancongan yang berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Perkara itu diakui Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang memaklumkan penaiktarafan lapangan terbang berkenaan dilihat sebagai satu keperluan bagi membolehkan kapal terbang bersaiz kecil membawa pelancong ke kawasan terbabit.

Menurutnya, kerajaan sudah membuat perancangan rapi untuk membangunkan kawasan Hulu Perak yang terkenal sebagai pusat warisan iaitu Tapak Warisan Lenggong dan pelancongan hijau iaitu Hutan Belum.

Dengan adanya kemudahan awam seperti ini ia secara tidak langsung dapat mempromosikan Perak ke peringkat antarabangsa seterusnya dapat meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat di bandar dan kawasan luar bandar.

Penulis Ketua Biro

Harian Metro Perak

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:09 AM