Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad melawat meja masakan dan meja ikan LKIM sempena Pelancaran Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) di Arena Square, Dataran Lawin, Gerik hari ini. FOTO MOHD RASHIDI YUSUF.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad melawat meja masakan dan meja ikan LKIM sempena Pelancaran Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) di Arena Square, Dataran Lawin, Gerik hari ini. FOTO MOHD RASHIDI YUSUF.
Oleh Mohd Rashidi Yusuf


Gerik: Kerajaan negeri mungkin terpaksa mencari tapak baru untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa bagi menggantikan Lapangan Terbang Ipoh kerana ia memang satu keperluan.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, keperluan untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa dibuat atas rungutan dan desakan pelabur selain pelancong.

Menurut beliau, pihak berkaitan itu enggan melalui perjalanan jauh di atas jalan raya sebaliknya segera ke lokasi dituju sebaik pesawat mendarat.

"Ramai yang hendak mendarat secara terus, yang datang dari luar negara ini tidak mahu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Pulau Pinang, kemudian terpaksa menaiki kenderaan untuk perjalanan jauh sebelum tiba ke destinasi dituju," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) di Arena Square, Dataran Lawin dekat sini, hari ini.

Saarani berkata, pembinaan lapangan terbang baru, selain bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri, juga memerlukan pemilihan lokasi yang sesuai supaya ia tidak menjadi projek yang tidak memberi manfaat.

Menurut beliau, untuk menaik taraf Lapangan Terbang Ipoh kepada lapangan terbang antarabangsa, ia akan membabitkan kos yang sangat tinggi kerana perlu membina landasan yang lebih panjang.

"Bagi membina landasan panjang, akan membabitkan kawasan perumahan, malah kawasan sekolah, dan sudah tentu kosnya sangat tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 6:05 PM