MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu bergambar bersama tetamu pada Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Air Asia Johor Bahru-Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh. FOTO L. Manimaran
MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu bergambar bersama tetamu pada Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Air Asia Johor Bahru-Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh. FOTO L. Manimaran
Zahratulhayat Mat Arif


PENERBANGAN pertama Airasia dari Johor Bahru ke Ipoh tiba hari ini, menandakan destinasi baharu dalam rangkaian meluas syarikat penerbangan berkenaan.

Penerbangan AirAsia AK6082, yang dikendalikan Airbus A320 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 7.30 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada 8.40 pagi.

Seramai 120 penumpang itu disambut oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; ahli Lembaga Pengarah AirAsia Group Berhad, Datuk Aziz Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Turut hadir, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Berhad (MAB), Raja Azmi Raja Nazuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib dan Pengarah Tourism Malaysia Negeri Perak, Mohd Roslan Abdullah.

Riad berkata, pelancaran laluan itu adalah bukti usaha berterusan pihaknya menawarkan lebih banyak laluan domestik yang juga destinasi penerbangan terus yang dinantikan dalam rangkaian laluan syarikat itu.

“Kami telah memperluaskan rangkaian kami secara agresif dari hab Johor Bahru untuk menawarkan tetamu kami peluang untuk terbang terus ke bandar raya yang penuh tarikan ini.

“Hari ini juga, kami turut melancarkan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Alor Setar, juga empat kali seminggu,” katanya pada sidang media di LTSAS.

Riad berkata, tahun lalu seramai 2.4 juta pelancong dari hab di Johor Bahru direkodkan dengan jumlah penerimaan pelancong yang tertinggi adalah dari Indonesia, Singapura dan China.

“Kami juga komited untuk terus meningkatkan industri pelancongan dengan meningkatkan hubungan (connectivity) kami dengan laluan baharu, perkhidmatan kami di Ipoh serta membawa sumbangan daripada aspek pelancongan, peluang pekerjaan dan perniagaan untuk masyarakat tempatan berkembang maju,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, dengan penambahan perkhidmatan empat kali seminggu AirAsia, kerajaan negeri percaya ia akan meningkatkan jumlah pengunjung ke negeri itu selain dapat menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri benar-benar teruja untuk mengalu-alukan pelancong datang ke Perak dan saya ingin berterima kasih kepada AirAsia kerana melancarkan laluan hari ini dan memberi penghormatan kepada saya untuk mengalu-alukan tetamu pertama di LTSAS hari ini.

“Walaupun kami berharap untuk menerima lebih banyak pelancong menerusi perkhidmatan langsung ini, kerajaan negeri mengakui pentingnya untuk menggalakkan pelancong yang datang untuk tinggal lebih lama di sini supaya mereka dapat menikmati pengalaman warisan dan eko-pelancongan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Perak (PTAC) dan antara tugas pertama PTAC adalah mewujudkan pelan induk untuk memacu sektor pelancongan negeri yang merangkumi penjenamaan semula pelancongan bagi menarik lebih banyak pelancong domestik dan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 12:13 PM