Kuala Lumpur: Tiga individu, termasuk seorang wanita warganegara China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menipu berhubung kelulusan permit kerja membabitkan kerugian RM45,100, Ogos lalu.

Bagaimanapun, Tong Cheng Wei, 48; Jiang Xiao Zhu, 45 dan Wooi Chu Thye, 45, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka secara bersama didakwa bersama-sama menipu Chong Kwok Lim, 54, dengan memperdaya mangsa hingga mempercayai mereka boleh memohon permit kerja warga asing dan mendapat kelulusan Jabatan Imigresen hingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM45,100.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Radin Bagus, Bandar Baru Sri Petaling di sini, kira-kira jam 5.30 petang, pada 27 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah mengenakan jaminan RM9,000 terhadap tertuduh pertama, iaitu Tong dan tertuduh ketiga, Wooi manakala tertuduh kedua yang juga warganegara China, Xiao Zhu dengan RM10,000.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali seminggu, manakala tertuduh kedua diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 November ini.
Tong dan Jiang diwakili peguam Sharon Jit manakala, peguam Tan Teck Yaw mewakili Wooi.

 

TAMAT

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 3:00 AM