MENJADI pilihan sebagai pelengkap dekorasi kediaman.
MENJADI pilihan sebagai pelengkap dekorasi kediaman.
Muhamaad Razis Ismail


Bagi penggemar aktiviti selam skuba dan selam snorkel, melihat pemandangan batu karang berwarna-warni adalah satu peluang keemasan yang tidak akan dilepaskan.

Keindahan hidupan marin ini membentuk sebahagian landskap yang unik di dasar laut seperti sebuah 'hutan hujan tropika' yang dipenuhi flora dan fauna.

Jadi tidak hairanlah, pulau di negara ini termasuk Pulau Mabul, Pulau Tioman dan Pulau Redang dianggap 'syurga' dalam kalangan pelancong dari dalam serta luar negara kerana memiliki khazanah yang masih terpelihara ini.

Kini, keunikan pelbagai bentuk dan warna batu karang juga boleh dinikmati dengan lebih mudah serta dekat apabila ia dipelihara di dalam akuarium marin di rumah.

Organisma laut tidak bertulang belakang yang tergolong di dalam kelas Anthozoa (filum Cnidaria) itu ada yang dipelihara bersama hidupan marin lain dan dijadikan sebagai pelengkap dekorasi unik untuk kediaman.

Salah seorang peminat batu karang, Mohd Faizal Kamarulzaman, 34, mula memelihara 100 hidupan marin itu dari jenis soft Coral, LPS (Large Polyp Stony Corals) dan SPS (Small Polyp Stony) di kediamannya di Johor Bahru, Johor sejak lebih sedekad lalu.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, semua batu karang itu diperoleh dari dalam negara dan diimport dari luar negara seperti Indonesia serta Australia.

"Minat terhadap batu karang ini timbul apabila saya berjinak-jinak dengan akuarium marin sebelum tertarik dengan keunikannya.

RAINBOW Chalice antara batu karang yang paling sukar didapati.
RAINBOW Chalice antara batu karang yang paling sukar didapati.

"Ia bermula dari hobi untuk mengisi masa lapang, lama-kelamaan timbul pula minat untuk belajar lebih mendalam mengenai selok belok penjagaan batu karang sehingga nampak peluang untuk menjana pendapatan sampingan.

"Bagi saya ini adalah salah satu cara untuk meredakan tekanan apabila seharian bekerja. Keseronokan akan timbul apabila batu karang dan hidupan yang dijaga membesar dan akan mengeluarkan warna yang cantik sama seperti dalam habitat asalnya di dalam laut," katanya.

Menurutnya, seperti hidupan marin lain, batu karang memiliki pelbagai jenis karakter yang mempesonakan sesiapa sahaja yang melihatnya.

"Antaranya adalah pergerakan yang seolah-olah sedang melambai mengikut arus. Ketika memberi makan kepada batu karang, kita boleh melihat 'tentacle' kecil dan halus keluar untuk mengambil makanan yang diberi.

"Bagaimanapun terdapat batu karang yang tidak boleh bersentuhan antara satu sama lain kerana boleh menyebabkannya ia mati kerana disengat. Oleh itu adalah penting untuk mengetahui jenis dan karakter batu karang yang dimiliki," katanya.

PROSES memotong batu karang dengan mesin khas untuk pembiakan.
PROSES memotong batu karang dengan mesin khas untuk pembiakan.

Katanya, dia pernah memiliki salah satu spesies batu karang yang paling sukar didapati iaitu Rainbow Chalice.

"Nilai batu karang ini sangat tinggi kerana mempunyai kepelbagaian warna seperti pelangi yang cantik.

"Oleh kerana batu karang ini agak sukar untuk dijumpai di habitat asal, harganya melambung tinggi sehingga boleh mencecah dari ratusan ke ribuan ringgit bergantung kepada saiz jualan antara satu sentimeter hingga dua sentimeter," katanya.

Jelasnya, bagi individu yang berminat memelihara batu karang adalah dengan menyediakan keperluan asasnya seperti akuarium, perumah bakteria, garam khas, sistem penapisan, lampu dari pelbagai jenis dari yang asas hingga ke yang berteknologi tinggi, sistem penyejuk air dan protein Skimmer

"Apabila semua keperluan peralatan sudah disediakan dan air dibancuh mengikut sukatan (bacaan kemasinan 1.020 to 1.025), akuarium perlu menjalani proses kitaran nitrogen.

"Ini sangat penting kerana kitaran nitrogen adalah satu proses kitaran di mana amonia yang terhasil dari penguraian organik di dalam air akan diurai oleh bakteria menjadi nitrit dan akhirnya kepada nitrat," katanya.

Mohd Faizal berkata, bagi batu karang yang dipelihara di dalam akuarium, pemiliknya perlu menyediakan tempat yang seakan sama seperti di habitat asal di laut.

MENDAPAT perhatian ramai ketika menyertai MAHA 2022.
MENDAPAT perhatian ramai ketika menyertai MAHA 2022.

"Paras kandungan kemasinan air perlu seakan sama seperti air laut. Air masin boleh dibancuh ke dalam air dengan menggunakan garam khas yang boleh didapati di pasaran.

"Pencahayaan dan penjagaan parameter adalah antara faktor yang perlu dititikberatkan untuk memelihara batu karang kerana ia penting untuk terus hidup.

"Batu karang memerlukan makanan seperti Phytoplankton dan juga memerlukan suplemen yang diberikan pada setiap hari untuk mengekalkan kesihatan warna dan tumbesaran.

"Kebiasaan kos segala keperluan dari segi makan dan suplemen boleh mencecah sehingga ratusan ringgit selain ada juga ribuan ringgit sebulan, bergantung kepada saiz akuarium dan jenis batu karang yang dimiliki," katanya.

Tambahnya, proses pembiakan hidupan marin ini dibuat dengan kaedah secara potongan untuk batu karang jenis SPS yang kemudian akan diletakkan di atas alas khas (frag plug) dengan menggunakan gam khas.

KEINDAHAN batu karang kini boleh dinikmati di rumah.
KEINDAHAN batu karang kini boleh dinikmati di rumah.

"Batu karang akan dibiar membesar di dalam akuarium. Apabila pucuknya membesar lebih kurang satu inci, ia boleh dipotong dan dijual kepada pelanggan yang berminat," katanya.

Bermula sekadar hobi, kini ia turut menjana pendapatan apabila Mohd Faizal mendapat permintaan menggalakkan dalam kalangan peminat hidupan marin yang berkongsi minat sama.

"Saya tubuhkan syarikat Teratak Karang Laut pada 2020 dengan menjalankan perniagaan berkenaan akuarium marin.

"Sebagai usahawan di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Johor, saya sering ke program yang di anjurkan termasuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berjaya menarik perhatian ramai pengunjung yang hadir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 7:01 AM