ANTARA haiwan liar yang dirampas oleh pihak PERHILITAN kerana tidak mempunyai lesen.
ANTARA haiwan liar yang dirampas oleh pihak PERHILITAN kerana tidak mempunyai lesen.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Memelihara hidupan liar atau jenis eksotik sebagai haiwan kesayangan dilihat satu gaya hidup atau trend dalam kalangan masyarakat hari ini.

Haiwan eksotik yang sering mendapat permintaan antaranya daripada spesies burung seperti kelas burung murai batu, bayan serindit, ruak-ruak, tiong mas, Sun Conure, Grey Parrot dan Lovebird.

Bagi kategori reptilia dan mamalia pula, antara haiwan yang menjadi pilihan adalah landak raya, musang pulut, chinchilla, ular sawa, Ball Python, iguana, Sulcata Tortoise dan Indian Star Tortoise kerana mempunyai ciri-ciri unik.

Namun, sebagai pemilik haiwan eksotik terutama spesies burung, anda perlu membuat semakan terhadap status milikan lesen dan permit tertentu.

Semua itu bagi mengelakkan pemilik daripada disabitkan kesalahan mengikut Akta 716.

Ia merujuk kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bagi perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Akta 716 memperuntukkan bahawa mana-mana spesies hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama memerlukan lesen bagi tujuan penyimpanan sebagai haiwan peliharaan.

Manakala penyimpanan bagi spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua hendaklah memperoleh kelulusan permit khas daripada menteri.

Bagi pemilik haiwan yang ingin memohon lesen menyimpan haiwan liar, anda perlu memastikan haiwan diperoleh menerusi saluran dan sumber yang sah.

BURUNG murai batu, Sun Conure dan Grey Parrot adalah antara spesies haiwan liar yang mendapat permintaan.
BURUNG murai batu, Sun Conure dan Grey Parrot adalah antara spesies haiwan liar yang mendapat permintaan.

Ini merujuk kepada peniaga berlesen atau memperoleh lesen memburu dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Jabatan berkenaan mengeluarkan beberapa jenis lesen berdasarkan aktiviti dan spesies yang dipohon.

Lazimnya lesen dikeluarkan bagi aktiviti memburu, mengambil, menyimpan, memungut, menjalankan urusan berniaga, menjalankan perniagaan taksidermi, mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar yang dilindungi (termasuklah bahagian atau terbitan hidupan liar).

Jabatan itu juga mengeluarkan Permit bagi aktiviti mengendalikan zoo, pembiakbakaan dalam kurungan komersial, sarkas atau pameran hidupan liar serta menjalankan penyelidikan.

Semua permohonan lesen boleh dibuat di pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Sementara itu, bagi mengelakkan diperdaya peniaga haiwan eksotik yang tidak sah, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status haiwan terbabit dengan PERHILITAN.

Ini kerana, jika terdapat sebarang perkara yang meragukan membabitkan status haiwan terutama mereka yang membeli haiwan terbabit menerusi platform dalam talian, rujuk terlebih dahulu dengan pihak PERHILITAN .

Ia bagi mengelak pemilik disabitkan dengan kesalahan berhubung aktiviti memburu, mengambil atau menyimpan hidupan liar tanpa lesen selain boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

LANDAK raya juga mempunyai ramai peminat.
LANDAK raya juga mempunyai ramai peminat.

Bagi kesalahan sekiranya memiliki spesies yang tertakluk di bawah permit khas boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, kesalahan menyimpan hidupan liar yang tidak matang atau hidupan liar betina boleh dikenakan penalti yang lebih tinggi.

Apapun, sekiranya hidupan liar (berlesen) yang dipelihara itu mati, pemilik perlu memaklumkan serta merta dan memulangkan lesen berkenaan kepada pejabat PERHILITAN negeri yang mengeluarkan lesen menyimpan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 6:21 AM