KESELAMATAN siber tidak tertumpu kepada isu penipuan semata-mata sebaliknya ia memberi maksud lebih menyeluruh.
KESELAMATAN siber tidak tertumpu kepada isu penipuan semata-mata sebaliknya ia memberi maksud lebih menyeluruh.
Muhammad Saufi Hassan


Masalah penipuan dalam talian ini umpama satu masalah yang tidak berpenghujung sedangkan pelbagai usaha, pendidikan dan pendedahan sudah dilaksanakan agensi serta pihak berkuasa.

Saban minggu, orang awam tidak terlepas daripada membaca kisah mangsa penipuan, tidak kira sama ada ia satu penipuan 'Love Scam' sehingga kepada pelaburan yang tidak wujud.

Jika 'Love Scam,' skripnya hampir sama iaitu individu terjerat dengan 'percintaan siber' dan mengakibatkan mereka rela mengirimkan wang dengan jumlah yang banyak atas pelbagai alasan antaranya ditahan pihak berkuasa, Interpol dan sebagainya.

Kalau melihat kes pelaburan tidak wujud pula, skrip yang digunakan adalah keuntungan 10 kali, 100 kali malah 1,000 kali ganda sedangkan itu secara warasnya terlalu tidak masuk akal namun masih ramai yang terjerat.

Sindiket penipuan dalam talian ini umpama mempunyai 'sihir' penarik sehinggakan orang awam terlalu mudah untuk terjerat dalam jenayah ini.

Skrip yang digunakan sindiket penipuan ini agak mudah iaitu memainkan emosi sasaran mangsa mereka, melakukan ugutan kononnya akaun bank akan disekat dan sebagainya.

Modus operandi yang hampir sama digunakan untuk kebanyakan kes penipuan dalam talian sehinggakan jenayah itu merekodkan jumlah ratusan juta atau mungkin bilion ringgit lebur.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2023, kerugian membabitkan jenayah penipuan ini adalah lebih RM1.2 bilion dan kategori pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah paling tinggi iaitu lebih RM120 juta.

Mungkin sudah sampai masanya, 'pendidikan keselamatan siber' diperkenalkan dalam silibus pendidikan di negara ini supaya golongan murid dan pelajar sudah ditanam dengan keselamatan siber.

Penganalisis keselamatan Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, keselamatan siber itu tidak tertakluk kepada kes penipuan semata-mata malah ia merangkumi perspektif yang sangat besar.

MEMBERI pendedahan awal kepada kanak-kanak, remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi tentang rangkuman jelas tentang definisi keselamatan siber.
MEMBERI pendedahan awal kepada kanak-kanak, remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi tentang rangkuman jelas tentang definisi keselamatan siber.

Menurutnya, ruang siber itu sudah menjadi ruang kedua penting selepas alam realiti kerana hampir semua rakyat negara ini mempunyai ketersambungan kepada Internet, mempunyai akaun media sosial, mempunyai akaun perbankan Internet dan laman dagang.

"Kita di MCCA konsisten bahawa isu keselamatan siber ini tidak mampu diselesaikan jika semua pihak bergantung harap kepada pihak berkuasa semata-mata sedangkan tiada inisiatif daripada individu itu sendiri.

"Sebarang jenayah membabitkan siber ini boleh dihentikan individu itu sendiri kerana ia tidak membabitkan sentuhan fizikal dan sebagainya, namun masih ramai orang kita yang agak alpa jika berdepan dengan kemungkinan ancaman siber ini.

"Apabila emosi mereka sudah diganggu oleh rangkaian sindiket terbabit, ancaman sudah diberikan, maka selalunya individu terbabit akan menjadi mangsa kepada sindiket terbabit," katanya.

Mohd Mizan berkata, agensi berkaitan perlu mula memikirkan kaedah untuk penerapan silibus di sekolah supaya aspek keselamatan siber itu mula difahami oleh generasi muda.

ISU penipuan dalam talian tidak dapat dikekang dengan efektif jika pengguna tidak memainkan peranan penting.
ISU penipuan dalam talian tidak dapat dikekang dengan efektif jika pengguna tidak memainkan peranan penting.

Beliau berkata, pendedahan menerusi pendidikan mampu untuk menyelesaikan masalah ini dan diharap ia bakal menjadi kenyataan kelak.

"Golongan murid atau pelajar ini akan membesar, jika penerapan tentang keselamatan siber itu sudah berlaku, maka mereka lebih cakna dan kritikal tentang ruang siber.

"Jika tidak, kita akan berdepan dengan masalah sama untuk sedekad akan datang malah jenayah itu akan berterusan dan lebih kompleks pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 7:00 AM