PENGENALAN MacBook Pro 14 inci dan 16 inci dengan cip variasi M3 memberikan talaan kuasa lebih baik.
PENGENALAN MacBook Pro 14 inci dan 16 inci dengan cip variasi M3 memberikan talaan kuasa lebih baik.
Muhammad Saufi Hassan


Raja segala peranti. Itu yang boleh disimpulkan terhadap peranti baharu keluaran Apple iaitu MacBook Pro yang dikuasakan dengan cip pemproses M3.

Bulan lalu, Apple memperbaharui generasi MacBook Pro mereka untuk barisan 14 inci dan 16 inci dengan cip M3, M3 Pro dan M3 Max.

Menerusi seni bina GPU generasi akan datang dan CPU yang lebih pantas, barisan cip M3 membawa lebih prestasi dan keupayaan baharu yang luar biasa kepada MacBook Pro.

Penulis melakukan ujian dalam beberapa perisian tugasan kompleks termasuk penanda aras Cinebench dan hasilnya terlalu luar biasa.

Untuk pemproses suntingan animasi serta suntingan kompleks membabitkan model tiga dimensi (3D), ia boleh dilakukan secara masa nyata tanpa perlu memproses 'rendering' siap.

Malah, cip berkenaan juga jauh lebih baik jika dibandingkan dengan spesifikasi desktop kelas prestasi tinggi dengan keupayaan pemproses yang baik serta kecekapan tenaga untuk bateri MacBook Pro berkenaan.

MacBook Pro 14 inci baharu dengan M3 bukan sahaja memberikan prestasi tinggi untuk tugasan harian, tetapi juga memberikan prestasi mampan yang luar biasa dalam perisian dan permainan.

Peranti itu bermula dengan tanda harga RM7,499, MacBook Pro 14 dan 16 inci dengan M3 Pro memberikan prestasi lebih hebat dan sokongan memori bersatu tambahan, membolehkan aliran kerja yang lebih mencabar untuk pengguna seperti pengekod, kreatif dan penyelidik.

MacBook Pro 14 dan 16 inci dengan M3 Max memberikan prestasi dan keupayaan yang menawarkan definisi baharu had pengkomputeran dengan GPU raksasa dan CPU yang berkuasa, bersama-sama dengan sokongan sehingga 128GB memori bersatu, MacBook Pro dengan M3 Max mendayakan aliran kerja yang melampau dan berbilang tugas merentas perisian profesional untuk pengguna seperti pengaturcara pembelajaran mesin, artis 3D dan editor video.

Model M3 Pro dan M3 Max juga kini hadir dalam warna hitam angkasa, kemasan aluminium gelap yang cantik.

PENUGASAN pengekodan serta suntingan model 3D boleh dilakukan secara masa nyata.
PENUGASAN pengekodan serta suntingan model 3D boleh dilakukan secara masa nyata.

Semua model MacBook Pro menampilkan paparan Liquid Retina XDR yang cemerlang dengan kandungan SDR 20 peratus lebih cerah, kamera 1080p terbina, sistem bunyi enam pembesar suara yang mengasyikkan dan pelbagai pilihan sambungan.

Jangka hayat bateri sehingga 22 jam, barisan ini menawarkan kemudahalihan terbaik biarpun pada penggunaan tahap optimum.

Naib Presiden Kanan Bahagian Kejuruteraan Perkakasan Apple, John Ternus berkata, tiada apa-apa yang serupa dengan MacBook Pro.

"Menerusi prestasi penjimatan kuasa yang luar biasa bagi silikon Apple, hayat bateri sehingga 22 jam, paparan Liquid Retina XDR yang menakjubkan dan sambungan lanjutan, MacBook Pro memperkasakan pengguna untuk melakukan kerja terbaik sepanjang hayat mereka.

"Generasi cip M3 yang akan datang, kami meningkatkan tahap lagi untuk perkara yang boleh dilakukan komputer riba pro.

"Kami teruja untuk membawa MacBook Pro dan keupayaan terbaik dalam kelasnya kepada set pengguna yang paling luas lagi dan bagi mereka yang menaik taraf daripada MacBook Pro berasaskan Intel, ia adalah pengalaman yang mengubah permainan dalam semua cara." katanya.

Tanda harga untuk MacBook Pro 14 inci bermula RM7,499 bagi cip M3 dan M3 Pro bermula RM9,999, manakala untuk variasi 16 inci pula, tanda harga bermula RM11,999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 6:20 AM