PENJENAYAH siber kini menyasarkan segmen IKS sebagai sasaran untuk mencuri data kewangan.
PENJENAYAH siber kini menyasarkan segmen IKS sebagai sasaran untuk mencuri data kewangan.
Muhammad Saufi Hassan

PENJENAYAH siber kini menyasarkan segmen industri kecil sederhana (IKS) di Asia Tenggara sebagai 'mangsa'terbaharu memandangkan pemilik segmen berkenaan kurang terdedah dengan ancaman dunia siber masa kini.

Berdasarkan statistik menunjukkan peningkatan serangan e-mel 'phishing' sebanyak 56 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia menunjukkan bahawa penjenayah siber bukan lagi menyasarkan segmen industri utama kerana kebanyakan platform untuk bidang berkenaan menggunakan sistem peranti serangan terkini.

Pemain industri besar juga terdedah dengan serangan siber dan mereka sentiasa menaik taraf sistem keselamatan berbanding pemain segmen IKS yang tidak begitu prihatin dengan isu keselamatan siber yang semakin penting ketika ini.

Menerusi satu data kajian daripada firma anti virus terkemuka, Kaspersky turut menunjukkan 'trend' peningkatan luar biasa khusus untuk negara di Asia Tenggara.

Indonesia menjadi sasaran paling tinggi untuk serangan siber apabila mencatatkan 192,591 kes cubaan pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu dengan rekod 158,492 kes.

Agak membimbangkan apabila negara ini turut mencatatkan cubaan serangan yang tinggi iaitu dengan jumlah 132,106 kes berbanding tahun lalu 90,825 yang direkodkan pada tempoh sama.

Selain itu, Filipina di tempat ketiga (76,478), Singapura (44,912) dan diikuti Thailand serta Vietnam.

PEMILIK perusahaam IKS perlu lebih peka dengan keselamatan siber dan tidak mudah tertipu dengan e-mel ‘phishing’.
PEMILIK perusahaam IKS perlu lebih peka dengan keselamatan siber dan tidak mudah tertipu dengan e-mel ‘phishing’.

Kaspersky memaklumkan bahawa platform yang diceroboh berdepan kecurian data sensitif antaranya maklumat kewangan syarikat, data membabitkan pemilik perniagaan dan maklumat sulit perniagaan yang lain.

Keupayaan serangan siber menerusi e-mel 'phishing' ini juga sudah membuktikan ia mampu mengaut keuntungan yang banyak seperti kes yang berlaku di Bangladesh apabila penyerang mencuri lebih RM300 juta untuk satu serangan saja.

Ia menunjukkan bahawa ancaman e-mel 'phishing' ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh sebaliknya pemilik platform IKS perlu lebih peka untuk menaik taraf sistem serta mengetahui sesuatu e-mel yang bersifat ancaman.

Firma anti virus itu menjelaskan bahawa pengetahuan asas berhubung amalan baik kepenggunaan Internet perlu ada untuk setiap individu terutama pemilik platform perniagaan kerana mereka menyimpan data strategik serta kewangan menerusi sistem secara maya.

Serangan menggunakan e-mel 'phishing' berkenaan antara yang paling popular memandangkan pengguna dilihat mudah untuk tertipu dan mengemukakan data sensitif hanya menerusi satu kiriman. Ia dibuktikan dengan serangan terbaharu tatkala penularan wabak Covid-19 apabila ada pihak ketiga yang menyebarkan e-mel berbentuk 'phising' kepada penduduk di Amerika Syarikat (AS) menyamar sebagai agensi kesihatan dan meminta data sensitif pengguna.

Malangnya, masih ramai pengguna yang tertipu dan mengemukakan data sensitif walaupun isu ini sudah sering diperkatakan dan pendedahan berhubung kaedah serangan.

ANCAMAN e-mel ‘phishing’ ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh.
ANCAMAN e-mel ‘phishing’ ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 7:00 AM