Papan induk MEG Z790 Ace.
Papan induk MEG Z790 Ace.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

 

Pemilihan papan induk penting khususnya untuk set desktop kelas prestasi serta permainan khususnya untuk penalaan prestasi tambahan atau 'overclocked'.

  Untuk itu, MSI memperkenalkan papan induk baharu mereka daripada generasi MEG Z790 Ace khusus untuk penggunaan cip pemproses Intel.

  Papan induk ini menampilkan padanan warna elegan dengan emas serta hitam di samping logo naga yang sinonim dengan MSI.

  Bagi aspek spesifikasi pula, papan induk jenis ini menyokong cip pemproses generasi ke-12 serta ke-13 Intel Core dengan soket LGA1700.

  Mengukuhkan lagi prestasi papan induk MEG Z790 Ace ini, ia didatangkan dengan sokongan binaan memori (RAM) DDR5 bersama 128GB.

  Ia sekali gus memberikan memori talaan 7800+ Mhz serta menyokong Intel XMP3.0 OC dan memberikan kuasa yang lebih stabil.

  Sesuai dengan binaan storan terkini, papan induk berkenaan didatangkan dengan lima slot M.2 untuk kepantasan pembacaan data daripada storan jenis itu.

  Ia juga menyokong WiFi Generasi Keenam manakala sambungan belakang turut dilengkapi dengan USB Type C serta butang CMOS.

  Papan induk itu juga memudahkan pengguna untuk meletakkan di mana-mana bahagian penyejuk CPU memandangkan bicu kawalan berada bahagian atas papan induk.

  Perkakas itu juga turut direka khusus untuk sistem penyejuk cecair dan setiap sambungan dilabel dengan jelas memudahkan pengguna.

  Pengguna boleh melakukan penyeragaman lampu menerusi perisian Mystic Light serta memilih mod yang sudah ditetapkan sesuai dengan tema lampu RGB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 5:22 PM