Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

Pengeluar perkakas komputer terkemuka, MSI memperkenalkan papan induk baharu mereka daripada generasi MEG Z790 Ace khusus untuk penggunaan cip pemproses Intel.

  Papan induk yang direka dengan warna padanan emas serta hitam itu menyerlahkan ciri premium di samping logo naga yang sinonim dengan MSI.

  Bagi aspek spesifikasi pula, papan induk jenis ini menyokong cip pemproses generasi ke-12 serta ke-13 Intel Core dengan soket LGA1700.

  Mengukuhkan lagi prestasi papan induk MEG Z790 Ace ini, ia didatangkan dengan sokongan binaan memori (RAM) DDR5 bersama 128GB.

  Ia sekali gus memberikan memori talaan 7800+ Mhz serta menyokong Intel XMP3.0 OC dan memberikan kuasa yang lebih stabil.

  Sesuai dengan binaan storan terkini, papan induk berkenaan didatangkan dengan lima slot M.2 untuk kepantasan pembacaan data daripada storan jenis itu.

  Ia juga menyokong WiFi Generasi Keenam manakala sambungan belakang turut dilengkapi dengan USB Type C serta butang CMOS.

  Papan induk itu juga memudahkan pengguna untuk meletakkan di mana-mana bahagian penyejuk CPU memandangkan bicu kawalan berada bahagian atas papan induk.

  Perkakas itu juga turut direka khusus untuk sistem penyejuk cecair dan setiap sambungan dilabel dengan jelas memudahkan pengguna.

  Pengguna boleh melakukan penyeragaman lampu menerusi perisian Mystic Light serta memilih mod yang sudah ditetapkan sesuai dengan tema lampu RGB.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 8:47 PM