Muhammad Saufi Hassan

 

 

Pengeluar perkakas kelas permainan terkemuka, MSI komited untuk meneruskan inovasi serta penggunaan teknologi baharu khusus di dalam perkakas mereka sekali gus membentuk pengalaman yang lebih baik dalam kalangan konsumer.

  Sempena majlis secara maya dengan tema 'The Next Playground', MSI menampilkan generasi papan induk baharu daripada siri Z690 yang menampilkan generasi ke-12 pemproses Intel Core.

  Majlis itu menampilkan pelbagai variasi kelas baharu untuk produk MSI antaranya variasi skrin paparan MEG Artymis 341 Mini LED, tiga set desktop semua dalam satu termasuk MEG Trident X dan beberapa produk lain.

  Ia sekali gus memperkemaskan ekosistem pasaran kelas permainan termasuk desktop pilihan sendiri (DIY) serta membuktikan bahawa MSI kekal sebagai peneraju inovasi serta prestasi kelas permainan.

  Antara semua produk berkenaan, papan induk generasi baharu paling mendapat perhatian memandangkan MSI tidak pernah gagal dalam menampilkan kejuruteraan paling canggih untuk perkakas premium mereka.

  Penampilan papan induk Z690 itu yang sememangnya direka untuk cip pemproses Intel Core 12th bersama-sama padanan teknologi baharu.

  Keupayaan pemproses baharu itu juga dipadankan dengan sokongan teknologi baharu PCIe 5.0 yang memberikan 128GB/s iaitu prestasi dua kali ganda daripada 'bandwidth' PCIe 4.0.

  MSI juga kali ini bijak menambahbaik sokongan kad grafik yang semakin berat dengan empat poin kekunci extra dengan PCB.

  Semua barisan produk papan induk Z690 berkenaan turut didatangkan dengan sokongan DDR5 bersama-sama pecutan memori bagi memanfaatkan prestasi tinggi pemproses generasi baharu Intel Core berkenaan.

  Berdasarkan kepada ujian yang dilaksanakan oleh MSI OC Lab, ia memperlihatkan kuasa 30 peratus daripada aspek kecekapan frekuensi memori.

  Sesuai dengan generasi baharu memori, ia dilengkapi dengan pilihan profil keupayaan memori atau 'RAM' XMP 3.0 bersama empat slot storan generasi baharu M.2 Gen4.

  MSI Z690 ini juga dilengkapi dengan teknologi sebaran haba termasuk sinki haba yang diperbesarkan bersama pelindung aluminium.

  Bagi pengukuhan kualiti binaan, papan induk itu didatangkan dengan pelindung bekalang diperkukuh daripada bahan aluminium.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 5:28 PM