Muhammad Saufi Hassan


Pengguna pada hari ini lebih gemar memiliki sesuatu peranti yang memudahkan tugasan harian terutamanya ketika melakukan tugasan mengemas rumah.

  Keupayaan teknologi sudah banyak membantu pengguna terutamanya dengan kehadiran robot pintar untuk mengambil alih tugas penyedut hampagas atau 'vacuum cleaner'.

  Mudahnya, pengguna tidak lagi perlu terbongkok-bongkok membawa penyedut hampagas berkenaan sebaliknya hanya menggunakan satu butang arahan di telefon pintar, robot berkenaan akan melakukan tugasan berkenaan.

  Untuk itu, robot pintar keluaran syarikat Ecovacs ini adalah yang terbaik berada di pasaran kerana ia bukan saja sekadar robot penyedut habuk, malah generasi robot ini juga didatangkan dengan tangki pembersihan habuk dan air secara automatik.

  Menerusi Ecovacs, Deebot X1 Omni didatangkan dengan teknologi baharu termasuk memudahkan pengguna.

  Robot pembersih lain memerlukan pengguna untuk mengosongkan ruang penyimpanan habuk namun untuk X1 Omni ini, tugasan berkenaan dilakukan secara automatik kerana didatangkan dengan 'menara pembersih' yang dilengkapi dengan tangki penyimpanan habuk serta tangki air untuk mengelap lantai.

  X1 Omni ini didatangkan dengan 'Station Omni' dan mempunyai kefungsian untuk pengosongan ruang secara automatik, pengisian air automatik dan pengeringan udara panas.

  Robot pembersih dikenali sebagai 'Deebot' ini dilengkapi dengan keupayaan penyedutan 5,000Pa bersama-sama kapasiti bateri 5,000mAh dengan teknologi AIVI 3D, OZMO Turbo 2.0, pembantu suara YIKO dan beberapa kefungsian khusus lain.

  Deebot X1 ini dilengkapi dengan bag habuk sebesar 3 liter dan paling menarik adalah keupayaan pengosongan bag berkenaan hanya mengambil masa dalam lingkungan 10 saat di stesen Omni berkenaan.

  Menyentuh aspek teknologi baharu untuk perkakas pintar ini, ia dilengkapi dengan AIVI 3D yang mampu untuk mengelak sebarang halangan ketika pembersihan dilaksanakan.

  Keupayaan pemproses Kecerdasan Buatan (AI) untuk Deebot ini adalah 16 kali lebih baik khusus untuk pengecaman objek termasuk sensor AIVI yang dipertingkatkan untuk mengecam objek atau bentuk benda hidup seperti haiwan ternakan dan sebagainya.

  Ia juga didatangkan dengan kefungsian untuk pengguna merakam imej dengan jelas dan seperti peranti pintar keluaran Ecovacs, ia dilengkapi dengan aplikasi khas untuk pengguna.

  Deebot X1 Omni ini juga mempunyai keupayaan pengeringan udara panas khususnya untuk pad pengelap sekali gus menghindarkan bau tidak menyenangkan.

  Pengguna boleh melakukan tetapan pembersihan dengan mudah hasil daripada integrasi dengan aplikasi pintar berkenaan sekali gus ia sangat memudahkan tugasan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 11:37 AM