Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

 

Kuala Lumpur: Acer Malaysia memperkenalkan produk baharu mereka daripada barisan 'Acepure' iaitu unit penapis udara pintar sekali gus menjadikan ruang kediaman pengguna selesa dan bebas bakteria terampai.

  Untuk itu, Acerpure Cool (C2) dan Acerpure Pro (P2) diperkenalkan yang dilengkapi dengan empat lapisan perlindungan yang mampu mengasingkan habuk, partikel PM1.0, bakteria, koronavirus (229E) dan Influenza A (H1N1).

  Kedua-dua produk ini didatangkan dengan empat dalam satu penapis HEPA sekali gus ia berupaya untuk menghapuskan 99 peratus bakteria terampai yang berada di udara.

  Empat lapisan penapis ini mempunyai peranan tersendiri seperti pra penapis berupaya untuk mengasingkan habuk serta bulu-bulu, manakala bagi penapis kedua akan menghapuskan bakteria yang berada di udara.

  Kefungsian penapis ketiga pula adalah menghapuskan partikel PM2.5 dan PM1.0 yang mengakibatkan alergik dan lapisan keempat menghilangkan formaldehyde, gas dan bau.

  Produk berkenaan didatangkan dengan panel kawalan serta pengguna boleh mengawal kelajuan penapis udara berkenaan mengikut kesesuaian keadaan persekitaran.

  Tetapan juga boleh dilaksanakan hanya menerusi telefon pintar dan sebaik selesai, notifikasi akan dihantar kepada peranti pengguna.

  Tanda harga bagi Acerpura Cool (C2) adalah RM1,599 manakala untuk Acerpure Pro (P2) adalah RM1,299.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 8:32 AM