TREND tahun lalu menunjukkan peningkatan dalam serangan siber berbentuk phishing.
TREND tahun lalu menunjukkan peningkatan dalam serangan siber berbentuk phishing.
Muhammad Saufi Hassan


SEBANYAK 119,000 ancaman siber untuk setiap minit sepanjang tahun lalu direkodkan, sekali gus menjadikan semua pengguna terdedah dengan pelbagai ancaman keselamatan terutama taktik e-mel 'phishing'.

Rekod ancaman berkenaan dikeluarkan oleh firma keselamatan siber terkemuka, Trend Micro dan antara faktor yang mendorong keadaan berkenaan adalah hampir sepanjang tahun lalu, kebanyakan pekerja melaksanakan rutin harian mereka di rumah masing-masing.

Tahun lalu juga merekodkan kadar tekanan kepenggunaan internet yang tinggi di hampir di seluruh dunia, sekali gus membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melancarkan serangan siber yang pelbagai.

Laporan berkenaan juga menunjukkan bahawa rangkaian di rumah menjadi tarikan utama bagi penjenayah siber memandangkan wujud segelintir pengguna yang masih 'kurang matang' dalam penggunaan internet termasuk mempercayai apa saja yang dibaca atau dihantar kepada mereka.

Penjenayah siber banyak menyasarkan peranti berkaitan Internet Kebendaan (IoT) dan kadar serangan kepada kediaman melonjak lebih 210 peratus iaitu mencapai hampir 2.9 bilion.

Sebanyak 73 peratus serangan pula membabitkan rangkaian internet di rumah apabila penggodam memecah masuk sistem penghala atau peranti pintar yang digunakan dalam kawasan kediaman.

Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia, Goh Chee Hoh berkata, ancaman melalui e-mel menjadi modus operandi paling popular dengan menghantar taktik 'phishing' kepada mangsa.

PENINGKATAN trend serangan siber berlaku sepanjang tahun lalu apabila kebanyakan pekerja terpaksa melakukan tugasan rutin di rumah, sekali gus menjadi mangsa mudah kepada penggodam.
PENINGKATAN trend serangan siber berlaku sepanjang tahun lalu apabila kebanyakan pekerja terpaksa melakukan tugasan rutin di rumah, sekali gus menjadi mangsa mudah kepada penggodam.

"Serangan jenis ini merangkumi 91 peratus daripada 62.6 bilion ancaman yang disekat oleh Trend Micro tahun lalu dan ia menunjukkan bahawa serangan 'phishing' data ini menjadi sangat popular.

"Kami berjaya mengesan 307 juta e-mel ancaman di Malaysia, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan ketujuh tertinggi di Asia dan ketiga tertinggi di Asia Tenggara.

"Syarikat mengesan hampir 14 juta alamat URL Phishing data unik pada tahun lalu ketika penyerang menyasarkan pekerja rumah yang terganggu," katanya kepada #ITMetro, semalam.

Chee Hoh berkata, pihaknya turut mengesan jaluran serangan baharu daripada segmen ransomware dengan peningkatan 34 peratus.

"Kami lihat ini sebagai 'pemerasan dua kali' apabila penyerang bukan saja mencuri data, sebaliknya menyulitkan pengguna serta memaksa mereka untuk melakukan pembayaran atau membocorkan data berkenaan kepada pihak lain.

"Sasaran penggodam adalah institusi perbankan, pembuatan dan penjagaan kesihatan adalah sektor yang paling banyak disasarkan penggodam.

CHEE Hoh menasihatkan pengguna supaya sentiasa berwaspada dalam ruang siber.
CHEE Hoh menasihatkan pengguna supaya sentiasa berwaspada dalam ruang siber.

"Banyak serangan menyasarkan kerentanan dalam akses 'Rangkaian Peribadi Maya' atau VPN yang digunakan pekerja jarak jauh.

"Kesalahan konfigurasi untuk perkhidmatan awanan semakin mendatangkan akibat pada tahun lalu dan kami memerhatikan eksploitasi API tanpa jaminan dalam beberapa serangan perlombongan 'cryptocurrency'," katanya.

Menurutnya, masih ada aspek positif apabila Trend Micro mendapati terdapat penurunan 17 peratus dalam pengesanan serangan BEC (Business Email Compromise), walaupun tiada petunjuk berapa banyak yang berjaya menembusi sistem keselamatan berkenaan.

Katanya, semua pengguna perlu lebih proaktif ketika menggunakan ruang siber dan tidak mudah menjadi mangsa kepada penggodam kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 7:00 AM