PERLU bijak bahagikan masa
PERLU bijak bahagikan masa
Muhamaad Razis Ismail

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dari rumah dan pada masa yang sama perlu menjaga keperluan anak yang 'bercuti.'

Ibu bapa pasti berdepan dilema apabila perlu membahagikan masa seadil-adilnya antara kerja dan anak-anak. Dilema ini termasuk jangka masa pendedahan anak dengan gajet.

Namun, ada segelintir yang mungkin tidak tahu kesan gajet maka mengambil jalan pintas memberikan gajet dan televisyen kepada anak sebagai pengganti mereka untuk mengelakkan diganggu ketika perlu mengejar deadline kerja yang ditetapkan.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, kesan screen time yang terlalu lama boleh memberi kesan kepada kesihatan dan perkembangan kanak-kanak.

"Secara medikal, screen time boleh memberi risiko terhadap kesihatan mata, tulang, otot, berat badan jika ia keterlaluan.

"Untuk anak-anak yang masih dalam proses perkembangan neuron, dikhuatiri penggunaan gajet yang lama boleh mengganggu perkembangan seimbang yang membabitkan fizikal, emosi, mental (kognitif) dan sosial," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, beliau sudah mula berbincang mengenai isu ini sejak 2014 apabila fenomena (screen time) yang semakin menjadi trend.

"Saya mengkaji teori dan hipotesis kemungkinan kesan yang berlaku dan cuba memahami punca yang menyebabkan kelewatan perkembangan.

 IBU bapa perlu pantau penggunaan gajet
IBU bapa perlu pantau penggunaan gajet

"Kerisauan hadir kerana saya menjalani pusat perkembangan kanak-kanak dan berdasarkan pemerhatian terhadap anak-anak ini," katanya.

Beliau yang juga pengasas Pusat Perkembangan Minda Kanak-Kanak KinderKaizen dan Sri Aria School berkata, tempoh screen time terlalu lama boleh mengakibatkan kanak-kanak menjadi ketagih terhadap gajet.

"Perlu difahami ketagihan berlaku kerana otak sudah diprogramkan untuk merasa kepuasan dalam menonton sesuatu dalam skrin atau dalam bermain permainan atas talian dalam skrin.

"Ini bahaya lebih-lebih lagi apabila didedahkan tanpa kawalan pada tahap umur di mana neuron sedang membina dengan pantas. Sifat neuron pula adalah, jika tiada fungsi, ia akan mati dan gugur.

"Tanda paling mudah untuk dikenali (ketagihan) adalah tantrum apabila tidak dapat screen time.

Tantrum ini sukar untuk dikawal namun jika anda boleh tahan sabar, ia akan mengambil masa untuk dineutralkan," katanya.

Bagaimanapun beliau faham, terdapat segelintir ibu bapa yang mungkin tiada pilihan dan terpaksa memberikan screen time ini kerana komitmen kerja.

"Ibu bapa perlu sedar jika rutin harian mereka terganggu disebabkan PKP, jangan lupa rutin anak-anak juga terganggu.

TANTRUM antara kesan ketagihan terhadap screen time
TANTRUM antara kesan ketagihan terhadap screen time

"Maka disebabkan perkara ini, perlunya kelonggaran dalam melihat isu screen time namun ini tidak bermakna saya menggalakkan," katanya.

Mengulas lanjut, perkara ini perlu dilaksanakan dengan kesedaran dalam kalangan ibu bapa sendiri berkaitan baik buruknya screen time.

"Kelebihannya di sini adalah, sekurang-kurangnya, anak-anak ini mendapat screen time di bawah pengawasan ibu bapa kerana semuanya berada di rumah di bawah PKP.

"Ibu bapa boleh tetapkan jadual atau rutin waktu khas untuk screen time supaya dapat diseimbangkan dengan keperluan lain.

"Contohnya, adakan masa menonton filem bersama anak-anak dan pastikan perhubungan positif sentiasa berlaku di rumah," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu tegas dengan membuat garis panduan dan menetapkan rutin tertentu untuk elakkan perkara yang tidak diingini seperti bergaduh berebut gajet atau menganggu waktu tidur.

"Ibu bapa berfungsi menjaga perhubungan baik dan selitkan aktiviti seperti bacakan buku cerita, bermain bersama atau sekali sekala berbual secara ilmiah," katanya.

Bagaimanapun, Dr Putri Afzan berkata ini bukan bermakna gajet boleh menjadi pengganti kepada tugas ibu bapa dalam menjaga keperluan anak-anak.

"Keperluan gajet pada ketika ini, mungkin boleh dilonggarkan dengan syarat, perlu ada pengawasan. Selagi ibu bapa ada kesedaran yang baik, ia akan membantu anak-anak.

"Elakkan mentaliti mahu kerja mudah. Ambil peluang hari ini untuk membina kembali perhubungan positif antara ibu bapa dan anak-anak, " katanya.

DR Putri Afzan
DR Putri Afzan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 6:15 AM